Friday, March 13, 2009

Mitos + Penguasaan Kelas=Hegemoni Pemerintah?


AWALAN KATA....

Apabila timbul ketidakpercayaan rakyat kepada kawalan sistem nilai dan budaya yang sedia ada, kesan dari kegagalan pemerintah di dalam menangani permasalahan yang timbul seperti perlecehan demokrasi, kemeruduman ekonomi, kebuluran akibat kemiskinan, maka kelas penindas akan mengalami transisi di dalam politik...Mereka mungkin masih lagi MEMPUNYAI sedikit berkuasa secara legal-rasional, tapi BUKAN LAGI DIPERCAYAI BAGI MEMANDU MASYARAKAT...Perubahan memerlukan pengorbanan..Namun jika konstruksi nilai sosial yang ditawarkan untuk mengganti sistem lama tidak berasaskan panduan Illahi..maka apa yang hanya terjelma adalah KEBEBASAN PALSU!..

                              Syeikhryz Ibnu Al-Haymdan...17 Rabiulawwal 1430 Hijrah...


MUKADIMMAH 


Budaya dan masyarakat merupakan suatu perkara yang sering berkaitan di antara satu sama lain. Budaya sesuatu masyarakat juga dapat dilihat memainkan peranan yang besar di dalam pembentukan nilai sistem politik sesebuah negara. Jamaie et al (2005:71) menjelaskan bahawa budaya merupakan elemen fundamental yang mendasari dan menjadi landasan nilai, norma dan tingkah laku individu serta kelompok yang menganggotai sesebuah masyarakat terhadap sistem politik. Budaya di dalam masyarakat merupakan sesuatu yang dikonstruksikan sebagai apa yang diterima oleh umum . Konstruksi sosial secara relatifnya merupakan suatu wacana yang sering mendapat tempat dikalangan ahli sosiologi dan psikologi. Barnett (2005:258) menjelaskan bahawa konstruksi sosial dapat difahami sebagai perbahasan epistemologi (teori ilmu) yang menjelaskan bagaimana sesuatu fenomena sosial dibentuk di dalam sesetengah budaya masyarakat. Hujah yang jelas bagi konstruksi sosial dapat dilihat berdasarkan perspektif Malaysia, di mana melalui idea berkenaan ketaatan Melayu kepada Raja. Perkara ini dapat dirujuk melalui mitos berkenaan kelahiran seseorang Raja di dalam sesebuah negeri . Berdasarkan konstruksi sosial di dalam masyarakat inilah yang akhirnya melahirkan hegemoni ke atas pemikiran rakyat.

 Ahmad Nidzammudin & Zaini (2007:54) menjelaskan hegemoni sebagai penguasaan pemerintah ke atas rakyat tanpa sebarang kekerasan dan paksaan. Proses hegemoni boleh berlaku melalui kempen yang berkesan melalui media massa, sistem pendidikan dan pengunaan agen pemerintahan seperti agensi kerajaan yang lain. Manakala Gramsci (1971) menjelaskan bahawa proses hegemoni merupakan sesuatu yang bermula dari peringkat super-struktur dengan tujuan untuk memberikan ketaatan dan kepatuhan masyarakat bawahan kepada kelas atasan iaitu pemerintah . Marx & Engels (1965) menjelaskan:

... “The idea of the ruling class are in every epoch the ruling ideas. The class which is the ruling material force of the society, is at the same time its ruling intellectual force. The class which has the means of material production at its disposal, has control at the same time over the means of mental production, so thereby, generally speaking, the ideas of those who lack the means of mental production are subject to it”.

  (Marx & Engels 1965:61)

 Di dalam mana-mana era tamadun manusia, konsep hegemoni seringkali mengiringi sistem pemerintahan. Sebagai contoh, di era ketamadunan Greek, untuk memastikan ketaatan rakyat kepada pihak pemerintah, maka telah diwujudkan suatu wacana berkenaan ketaatan kepada pemerintah bersamaan dengan ketaatan kepada dewa-dewa . Perkara yang sama juga turut terjelma di dalam budaya masyarakat Melayu, di mana konsep devaraja (Raja sebagai bayangan Tuhan di muka bumi) telah diperturunkan dari zaman ke zaman untuk melindungi penguasaan kelas pemerintah dari sebarang penentangan, dengan mengaitkan Raja dengan pelbagai mitos dan keajaiban. Samad (1979:25) menjelaskan bahawa di dalam kitab sulalatus salatin telah diperihalkan berkenaan kemunculan Nila Pahlawan, Nila Utama dan Krishna Pandita yang menunggang lembu putih. Perlu disedari bahawa elemen hegemoni telah meresap di dalam kisah klasik ini bilamana pemerintah tempatan iaitu Demang Lebar Daun bersetuju menyerahkan kedaulatannya sebagai pemerintah kepada Sang Sipurba selepas peristiwa waadat.

 Perkara yang sama juga turut dicatatkan bilamana terjadi peristiwa pembunuhan anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak iaitu Tun Besar oleh anak gahara Kesultanan Melaka iaitu Raja Muhammad. Di dalam kitab sulalatus salatin dicatatkan berkenaan dialog Tun Perak kepada anak-anak buahnya iaitu:


...“Maka kata Bendahara, “apatah maka kamu sekalian ini berlengkap?”
Maka kata segala anak buah Bendahara, “sahaya semua hendak balaskan kematian syaudara sahaya”.
Maka kata Bendahara, “karena istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka, hai hendak derhakalah kebukit, hendak derhaka ke busut. Nyiah kamu semua nyiah, karena istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. “Tetapi akan kita berbuat tuan akan anak Raja seorang ini, janganlah”.

  (Samad 1979: 116)


 Persoalan utama di sini ialah, berkemungkinan besar Tun Perak telah mengalami proses hegemoni melalui budaya warisan turun temurun iaitu ketaatan kepada Raja dan juga pantang Melayu derhaka. Berdasarkan hujah ini, dibuktikan bahawa konsep hegemoni bukanlah suatu perkara yang baru, bahkan sudah muncul semenjak era klasik lagi .

 HEGEMONI DAN HEGEMONI BALAS (COUNTER-HEGEMONY)

Di dalam membicarakan berkenaan pemerintahan, konsep hegemoni perlulah dibezakan dengan penggunaan kekerasan (coercive powers) di dalam mengekalkan kuasa seperti pengunaa alat pemaksaan yang sah seperti Polis dan Tentera. Perkara ini kerana, Boggs (1976:38-39) menjelaskan bahawa Gramsci (1891-1937) membezakan di antara hegemoni yang berkisar dengan proses sosialisasi masyarakat, kawalan ideologi secara tanpa disedari dengan paksaan fizikal secara langsung. Namun, perubahan di dalam sesebuah masyarakat dapat dilakukan bilamana hegemoni tersebut dicabar (counter-hegemony). Gramsci berpendapat, hegemoni pemerintah mula tercabar bilamana, kelas pemerintah dilucutkan prestij dan spiritual kuasanya (dipetik daripada Hobden & Jones 2001: 211). Beliau turut menyatakan perkara ini terjadi bilamana:

... “The ruling class has failed in some major poitical undertaking for which, it has requested or forcibly extracted the consent of broad mass”.

  (Gramsci 1971. dipetik dalam Boggs 1976:40-41)

 Berdasarkan hujah ini, dapat difahami bahawa apabila terjadi beberapa peristiwa seperti kelemesetan ekonomi yang teruk, huru-hara politik dan peperangan di dalam negara, maka secara teknikalnya kelas pemerintah hanyalah menjadi dominan dan bukan lagi memimpin massa, kerana pada saat ini kepercayaan pihak massa kepada ideologi dan norma sosial yang diterapkan oleh pemerintah telah terhakis. Perkara ini dapat dilihat kepada negara Kesatuan Soviet (USSR) ketika penghujung perang dingin. Masalah kemelesetan ekonomi yang mengakibatkan ekonomi USSR lumpuh, telah menyebabkan rakyat telah hilang kepercayaan kepada ideologi komunisme yang menawarkan masyarakat tanpa kelas (classless society) dan kesamarataan (equality) .

 Hegemoni balas secara umumnya dapat diwujudkan melalui fasa perang posisi, iaitu pendekatan yang beransur-ansur di dalam membina kekutan sosial negara. Perkara ini bermaksud, para intelektual dari posisi yang berlawanan seharusnya memainkan peranan yang sama dengan apa yang pernah dimainkan oleh intelektual lama seperti menyediakan perang intelektual dengan menyebarkan idea-idea baharu bagi menggantikan idea yang sudah sedia ada. Sebagai contoh, ketika perang dingin, negara-negara paksi Warsaw (Warsaw Pact) seperti Poland telah mula terdapat penyebaran asas-asas demokrasi di dalam negara melalui pertubuhan Solidarity. Para intelektual pertubuhan Solidarity seperti Lach Walesa dan Jacek Kuron telah memulakan penyebaran tema-tema demokrasi seperti perjuangan hak asasi, kebebasan, pilihanraya dan kerajaan yang berperlembagaan bagi menggantikan tema komunisme seperti masyarakat tanpa kelas (clasless society) dan kediktatoran Proletariat. Bersandarkan kempen yang sistematik, akhirnya kerajaan komunis Poland yang sememangnya sudah mula kehilangan prestij kuasa dan spiritualnya telah berhasil ditumbangkan bagi membuka jalan kepada sistem demokrasi di Poland.

HEGEMONI PEMERINTAH YANG TERHAKIS DI MALAYSIA

Politik Malaysia semenjak dari awal kemerdekaan adalah berteraskan kepada angka ubah kesedaran kaum. Analisis dari perspektif marxisme bahawa kesedaran kelas akan berlaku apabila tercetusnya kesedaran untuk bebas dari penindasan ternyata tidak dapat diterima pakai untuk menganalisis politik Malaysia pada awal kemerdekaan . Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara telah melalui sejarah yang panjang . Ketika era pra-kedatangan penjajah Inggeris, sistem politik yang diamalkan dikebanyakan negeri di Malaysia adalah berbentuk monarki mutlak, di mana kuasa seorang Sultan sebagai pemerintah adalah begitu luas dan tidak boleh dipersoalkan . Namun, dengan campurtangan penjajah Inggeris di dalam pemerintahan secara rasmi pada tahun 1874, nilai-nilai demokratik telah diterapkan di dalam sistem politik negara secara beransur-ansur . Di antara nilai-nilai demokratik yang pertama diperkenalkan oleh pihak Inggeris ialah melalui peruntukan undang-undang dan sistem mahkamah awam melalui pengenalan piagam keadilan 1807 di Pulau Pinang (Ahmad Ibrahim & Ahilemah 2007:16) . Pilihanraya umum pertama di Malaya diadakan buat pertama kalinya pada tahun 1955, sebagai persediaan kearah berkerajaan sendiri (Khong 2003:292) .  

 Semenjak dari pilihanraya Persekutuan yang pertama di Malaysia pada tahun 1955, hanya terdapat satu parti yang berjaya membentuk kemenangan iaitu Perikatan yang kemudiannya diubah kepada Barisan Nasional (BN) . Kemenangan BN di dalam kesemua pilihanraya sepanjang 50 dekad kemerdekaan Malaysia, telah memberikan suatu peluang untuk menerapkan proses hegemoni ke dalam fikiran rakyat. Penerapan politik perkauman di dalam fikiran rakyat merupakan sebagai salah satu daripada proses hegemoni di dalam parti. Sebagai contoh, di dalam UMNO sendiri seringkali ditekankan berkenaan suatu konsep yang bersifat konservatif iaitu konsep ketuanan Melayu.  Melalui konsep ketuanan Melayu ini, telah berlaku satu konstruksi sosial di dalam norma masyarakat iaitu kaum Melayu sebagai penduduk asal di dalam negara yang harus menikmati segala bentuk keistimewaan berbanding kaum lain. Berdasarkan sentimen primordial ini, pihak massa khususnya dari kaum Melayu telah ditanamkan dengan suatu kepercayaan politik bahawa hanya UMNO sahaja yang mampu membela kaum Melayu berbanding parti-parti lain seperti Parti Islam Semalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun Democratic Action Party (DAP).

 Namun, menjelang tahun 1999 telah muncul suatu idea politik yang menjadi hegemoni balas kepada konsep ketuanan Melayu iaitu wacana politik baru. Melalui wacana politik baru ini, penekanan diberikan kepada tema-tema kesejahteraan umum seperti keadilan, kesamarataan, hak asasi, kerajaan yang berintegriti dan pemerintahan yang berasaskan undang-undang. Kemuncak kepada hegemoni balas ini ditandai dengan perubahan yang berlaku pada pilihanraya tahun 2008 bilamana parti BN yang berasaskan kaum gagal mempertahankan majoriti 2/3 di dalam Parlimen seperti yang dinikmatinya di dalam 11 sesi pilihanraya serta kehilangan 5 buah negeri kepada lawannya iaitu Pakatan Rakyat (PR) . Hujah yang jelas bagi menyokong betapa hegemoni parti pemerintah telah terhakis ialah melalui demonstrasi 100,000 rakyat bagi menuntut pilihanraya yang adil dan bersih (BERSIH). Peristiwa demonstrasi BERSIH ini secara umumnya merupakan manifestasi dari hegemoni balas kesan dari wacana politik baru. Peristiwa ini menandakan bahawa rakyat sudah memilih untuk menolak nilai-nilai konservatif yang di tanam ke dalam fikiran rakyat selama 5 dekad oleh parti pemerintah. Penentangan kepada UMNO yang selama ini dilihat sebagai pelindung ketuanan Melayu juga dapat dilihat, bilamana rakyat telah mula mempersoalkan peranannya yang meneruskan polisi pembelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Implikasi dari isu ini, demonstrasi 100,000 rakyat menentang PPSMI telah tercetus di Kuala Lumpur. Perkara ini membuktikan bahawa hegemoni parti pemerintah sebagai pelindung rakyat sudah mula dipersoalkan oleh segenap golongan masyarakat.

 Pasca pilihanraya umum tahun 2008, telah berlaku penghakisan kepada hegemoni parti pemerintah melalui media massa. Faktor globalisasi turut memainkan peranan di dalam menghakis hegemoni parti pemerintah. Selama hampir 5 dekad, media massa yang dikuasai oleh parti pemerintah seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan The New Straits Times memainkan peranan sebagai penyebar dan mengukuhkan hegemoni, namun pasca pilihanraya umum 2008 memperlihatkan persepsi masyarakat terhadap kebolehpercayaan media-media utama ini telah jatuh merudum. Sebagai alternatif, media-media bebas dari media elektronik seperti Malaysiakini dan instrumen penyebaran informasi milik parti pembangkang seperti Harakah dan Suara Keadilan mula menjadi sumber informasi rakyat berkenaan politik dan sosial.

 Wacana politik baru yang menekankan berkenaan tema hak asasi, telah sedikit sebanyak menghakis hegemoni parti pemerintah yang selama ini diberikan imej telus dan adil melalui konsep perkongsian kuasa. Pasca pilihanraya umum tahun 2008 memperlihatkan rakyat telah mula mempersoalkan pentadbiran kerajaan yang dilihat bercanggahan dengan prinsip ketelusan. Sebagai contoh, telah mula berlaku penentangan yang hebat oleh rakyat kepada pemerintah berhubung keperluan pembelian kapal selam dan pesawat pejuang Sukhoi dari Russia dengan kos yang besar oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (www. Suaram.net 10 mac 2009: atas talian). Dari perspektif hak sivil dan politik, pasca pilihanraya umum ke 12 juga memperlihatkan berlaku desakan rakyat yang mula menyedari mereka mempunyai hak untuk berpersatuan dan menubuhkannya berdasarkan artikel 10 Perlembagaan Malaysia. Kes ini dapat dirujuk kepada permohonan penubuhan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berjalan selama 10 tahun bermula dari tarikh ia mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Desakan yang diterima telah menyebabkan pihak kerajaan terpaksa membenarkan permohonan PSM untuk menjadi sebuah parti yang sah. Hujahan dan bukti ini menunjukan betapa hegemoni parti pemerintah telah terjejas pasca pilihanraya umum tahun 2008.


 KESIMPULAN

Proses hegemoni secara umumnya merupakan perkara yang terjadi di dalam mana-mana tamadun manusia. Hegemoni terjadi melalui konstruksi sosial di dalam masyarakat, samada dari segi budaya, norma sosial masyarakat, ideologi pemerintah dan adat resam yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Melalui hegemoni, masyarakat tanpa disedari oleh mereka menyokong sesuatu parti politik atau kerajaan tanpa sebarang paksaan dan kekerasan. Gramsci (1891-1937) yang menganalisis berkenaan kegagalan tercetusnya revolusi komunisme di negara-negara kapitalis maju, telah mengenalpasti bahawa terdapat elemen bukan ekonomi yang menyebabkan proses revolusi komunisme gagal. Berdasarkan analisisnya, beliau menjelaskan bahawa kelas pemerintah melalui penguasaan ke atas elemen-elemen super-struktur seperti institusi agama dan adat resam telah menghasilkan penguasaan tanpa paksaan ke atas rakyat.

 Di Malaysia, parti pemerintah iaitu Barisan Nasional (BN) yang sering memenangi pilihanraya dilihat telah mula terhakis hegemoninya pasca pilihanraya umum 2008 yang menyaksikan parti BN gagal mempertahankan majoriti 2/3 kerusi di Parlimen. Di antara faktor yang dikenalpasti membawa kepada penghakisan hegemoni parti BN adalah kemunculan nilai-nilai politik baru yang memperkenalkan idea politik yang berteraskan kebebasan, hak asasi, keadilan dan ketelusan pemerintahan negara. Sebagai reaksi kepada terhakisnya hegemoni parti pemerintah di Malaysia, telah muncul pelbagai peristiwa yang menjadi hegemoni balas kepada sistem nilai yang diamalkan oleh parti pemerintah. Di antaranya ialah cabaran ke atas konsep ketuanan Melayu yang didukungi oleh parti pemerintah selama ini dengan konsep baharu iaitu ketuanan rakyat. Sambutan yang diberikan ke atas konsep ketuanan rakyat memperlihatkan betapa sistem nilai dan sosial yang selama ini dipertahankan oleh parti pemerintah telah terhakis sedikit demi sedikit. Perkara ini menjelaskan bahawa, hegemoni sesebuah parti yang memerintah tidak akan kekal lama dan akan mula terhakis apabila muncul sesuatu gagasan idea yang baru disamping kegagalan parti pemerintah itu sendiri di dalam menyelesaikan sesuatu masalah di dalam negara. 

CATATAN TAMBAHAN

(1)Budaya merupakan sesuatu yang dicipta dan diterima umum sebagai suatu yang diwarisi secara turun-temurun. Secara umumnya, budaya dapat diturunkan kepada satu generasi kepada satu generasi yang lain dengan teknik samada bentuk dokumentasi seperti dokumen undang-undang dan adat istiadat. Contoh yang jelas ialah Undang-Undang Laut Melaka, Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan Perak (Zalila & Jamilah 1993:446-449). Tradisi yang kedua dapat dilihat melalui penyampaian berbentuk lisan seperti tambo-tambo dan penjenisan sastera hikayat. Melalui pewarisan budaya dan nilai adat resam inilah, lahirnya konstruksi sosial di dalam masyarakat seperti pembentukan konsep divine rights of the kings di Eropah sehingga tercetusnya pertelagahan di antara golongan bangsawan dan Raja sehingga memaksa Raja John I (1166-1216) membentuk dokumen Magna Charta pada tahun 1215. Lihat Hobsbawm & Ranger (1983) dan Ahmad Kamlin (1986).

  (2)Elemen-elemen kesaktian dapat dilihat kepada mitos-mitos yang diperturunkan kepada generasi ke generasi bahawa golongan raja adalah berdarah biru dan dilahirkan dengan pelbagai keajaiban seperti pancaran cahaya yang terang benderang ketika waktu kelahiran seseorang putera raja, kelahiran berserta dengan alatan-alatan seperti keris panjang, pedang dan rantai (Qassim:1994). Sebagai contoh kitab sejarah melayu Sulalatus salatin karangan Tun Seri Lanang yang menerangkan bahawa kelahiran Raja suran dewata raya dengan disusuli oleh alatan kebesaran seperti Keris diraja. Kemunculan Nila utama, Sang sipurba dan Krishna Pandit di bukit seguntang dengan pancaran kilat serta menunggang lembu putih juga membuktikan betapa mitos ini dibesar-besarkan demi menjaga reputasi kewibawaan raja menurut konsep Hindu dan Buddha. Lihat Samad (1979) dan Zalila dan Jamilah (1993).

 (3) Antonio Gramsci (1891-1937) yang merupakan seorang sarjana marxis Itali dan pemimpin Parti Komunis Itali. Di dalam kajiannya, beliau mengkaji mengapa revolusi Proletar tidak dapat berjalan di negara-negara maju seperti di Eropah barat dan hanya bermula di negara- kapitalis mundur yang berasaskan pertanian seperti di Russia melalui revolusi Bolshevik 1917. Gramsci berpendapat, konsep teoritikal marxisme yang terlalu memandang aspek ekonomi, sehingga mengetepikan perkara-perkara yang bercorak bukan ekonomi seperti budaya dan sistem nilai masyarakat. Perkara inilah yang telah beliau nyatakan sebagai hegemoni, di mana kelas pemerintah telah mewujudkan suatu sistem nilai yang ditanamkan di dalam sesuatu masyarakat seperti adat resam dan budaya sehingga menjadikan rakyat mengalami kepatuhan kepada pemerintah tanpa disedari. Jika ditinjau dari aspek teoritikal marxisme, telah dinyatakan bahawa sesuatu perubahan akan berlaku di dalam masyarakat bilamana berlaku perubahan di dalam sub-struktur iaitu ekonomi (Marx & Engels 1965:58). Sesiapa yang menguasai alat pengeluaran (mode of production) di peringkat sub-struktur, maka akan mempu mengubah institusi budaya dan sosial di dalam masyarakat di peringkat super-struktur. Namun, andaian ini disangkal oleh Gramsci (1971), yang mana beliau menyatakan bahawa proses seperti alienasi dan eksploitasi di dalam masyarakat terjadi kesan dari hegemoni yang berlaku di peringkat super-struktur seperti pengalaman warisan budaya dan norma sosial.


 (4) Sebagai contoh, mitos ini dapat dilihat melalui pemberian perwatakan manusia kepada Tuhan seperti dari segi rupa bentuk, perasaan cemburu, seks, kekuasaan. Al-Bana (2006:13) di antaranya mengisahkan berkenaan kisah pertelingkahan manusia dengan Tuhan iaitu kisah Promtheus yang mencuri rahsia api dari Dewa-Dewi untuk diberikan kepada manusia sehingga menimbulkan kemarahan ketua segala Dewa iaitu Zeus. Berdasarkan rasionaliti akal, Socrates menolak wujudnya Dewa-Dewi dan menyebabkan beliau dihukum mati dengan meminum racun hemlock di atas pertuduhan mengkhianati negara dan kepercayaan negara. Lihat Pojman (2006) dan Nelson (1996).

 (5) Ketaatan yang melampau di dalam era feudal ini dapat dilihat melalui pemerihalan karekter Hang Tuah di dalam Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan Hikayat Hang Tuah, beliau telah dihukum bunuh tanpa usul periksa oleh Sultan di atas tuduhan bermukah (melakukan maksiat) dengan salah seorang dayang di Istana Sultan. Lantaran dari ketidakadilan yang berlaku, Hang Jebat telah menuntut bela dan melakukan apa yang digelar sebagai penderhakaan kepada Sultan. Hang Jebat pada akhirnya dibunuh oleh Hang Tuah dan seluruh keluarganya yang tidak berdosa menerima hukuman dari Sultan akibat derhaka. “Maka bangkai Hang Jebat pun ditarik oranglah, dibuangkan ke laut dan segala anak isterinya pun habis diumbut, datangkan tanah kaki tiangnya pun digali, dibuangkan orang ke laut. (Samad 1979:100)


 (6) Menyedari bahawa negara USSR telah mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk, Presiden terakhir USSR iaitu Mikhail Gorbachev telah memulakan usaha reformasi politik di dalam negara dengan menjalankan polisi Galsnots (keterbukaan) dan Prerestroika (penstrukturan semula) bagi mengembalikan prestij kuasa komunisme agar kembali dipercayai oleh rakyat. Namun, dengan pengenalan polisi-polisi ini, akhirnya USSR tidak mampu bertahan lama dan berakhir dengan perpecahan dan keruntuhan sistem komunisme di dalam dunia. Perisitwa terlucutnya prestij kuasa komunisme telah ditandai secara simbolik dengan meruntuhkan tembok Berlin yang memisahkan negara Jerman Barat dan Jerman Timur pada penghujung dekad 80an. Lihat Laski & Stanley (1997) dan Sally (1998).


  (6) Berdasarkan konsep materialisme-sejarah, Marx (1818-1883) membahagikan tahap-tahap tamadun kepada 5 fasa iaitu primitif, perhambaan, feudalisme, kapitalis dan sosialisme sebelum menuju kepada komunisme yang tidak mementngkan kelas (Marx & Engels 1965:36). Beliau menyatakan bahawa setiap fasa tamadun, akan berlaku proses dialektika atau pertentangan yang akhirnya akan membuahkan suatu sintesis. Sebagai contoh, Marx menjelaskan bahawa kecelaruan di dalam ragam pengeluaran kapitalis telah menghasilkan tahap kebekuan ekonomi (economic stagnation), implikasinya yang nyata ialah berlaku penindasan kepada kelas Proletar oleh Borjuis. Akibat dari proses dialektika yang terjadi, akhirnya kelas Proletar berjaya menumbangkan kelas Borjuis dan mendirikan kediktatoran Proletariat. Pada tahap ini akan berlaku perubahan fasa di dalam tamadun manusia dari kapitalisme kepada sosialisme. Apabila keadilan dan kesamarataan di dalam masyarakat sudah terhasil, maka pada anggapan Marx ia sudah menandakan bahawa kehidupan manusia sudah memasuki fasa komunisme yang mana manusia hidup tanpa dibeza-bezakan kelas (classless society) . Di dalam usaha menuju masyarakat komunis, Marx (1818-1883) melaungkan slogan from each according to his capacity, to each according to his needs, di mana ia bertujuan untuk menghapuskan penindasan sesama manusia berdasarkan ketidaksetaraan ekonomi. Namun dengan membataskan kemampuan manusia untuk berusaha memperbaiki kehidupan ke arah keselesaan material, ideologi marxisme jelas menolak kebebasan manusia untuk mengumpul kekayaan demi individu dan segala harta dimiliknegarakan. Jelas di sini, ideologi marxisme secara tidak langsung menolak kebebasan individu walaupun tujuan asalnya untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama sendiri. Penindasan ini secara jelasnya berubah dari perhambaan sesama rakyat kepada perhambaan rakyat kepada negar Lihat Marx & Engels (1965), Sally (1998) dan Rossen & Wolff (1999).

 (7) Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem negara persekutuan yang dibentuk pada 16 september 1963. Perlembagaan Persekutuan (2008:1) melalui bahagian 1, perkara 1 (2) menjelaskan bahawa Persekutuan Malaysia terdiri daripada gabungan 11 buah negeri di semenanjung dan 2 buah negeri di borneo utara iaitu Sabah dan Sarawak. Pada peringkat awal pembentukannya melalui Suruhanjaya Cobbold, negara Malaysia turut disertai oleh Singapura sebagai salah sebuah negeri gabungan, sebelum mengambil keputusan untuk keluar sebagai negara republik pada tahun 1965. Selain itu, Malaysia turut mempunyai beberapa wilayah persekutuan yang ditubuhkan melalui akta perlembagaan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Lihat Crouch (1996), Khong (2003) dan Milne & Mauzy (1999).

(8)  Sistem monarki yang menunjangi pemerintahan ketika itu secara umumnya telah mewujudkan strata sosial feudal yang mengamalkan sistem kelas di dalam kehidupan seperti kewujudan kelas pemerintah yang terdiri daripada Sultan, pembesar-pembesar 4 lapisan, 8 lapisan, 16 lapisan dan kelas yang diperintah seperti pedagang dan rakyat biasa serta kelas hamba (Syed Husin 2004:294-295).

 (9) Pendudukan British di Tanah Melayu sudah bermula pada tahun 1786 melalui pembukaan Pulau Pinang oleh Fancis Light, namun ia tidak dapat dikelasifikasikan sebagai campurtangan rasmi oleh pihak Inggeris ke atas politik negeri-negeri Melayu, kerana pihak Inggeris hanya mentadbir Pulau Pinang tanpa terlibat di dalam pentadbiran negeri Kedah. Hanya melalui perjanjian Pangkor 1874, maka pihak Inggeris secara rasmi mencampuri urusan politik negeri-negeri Melayu samada bersekutu atau tidak bersekutu. Lihat Gullick (1958).

  (10)Perlembagaan Tanah Melayu yang menyeluruh hanya mula diperkenalkan pada tahun 1948, sebelum mengalami beberapa pengubahsuaian pada tahun 1957 dan sewaktu penubuhan Persekutuan Malaysia. Sebelum pengenalan perlembagaan tersebut, terdapat Enakmen Undang-undang Sivil 1937 yang menjadi sumber perundangan tertinggi di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Manakala bagi Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu pula, pemakaian undang-undang sivil Inggeris yang seragam diperluaskan melalui Ordinan Undang-undang Sivil (peluasan) 1951 (Ahmad Ibrahim & Ahilemah 2007 : 89).

  (11)Pilihanraya pertama merupakan pilihanraya Majlis Perbandaran Georgetown pada 1 disember 1951 dan diikuti oleh pilihanraya Majlis Perbandaran yang lain. (Khong 2003:254)

  (12)Parti Perikatan terdiri dari 3 buah parti utama yang mewakili setiap kaum yang terbesar di Malaysia iaitu UMNO yang mewakili kaum Melayu, MCA yang mewakili kaum Cina dan MIC bagi menwakili kaum India. Namun pada tahun 1974, Perikatan telah ditukarkan namanya kepada Barisan Nasional (BN) kesan dari pertambahan parti-parti lain seperti Parti Islam Semalaysia (PAS), GERAKAN, Parti Pogressif Penduduk (PPP) dan beberapa parti-parti kedaerahan di Sabah dan Sarawak. Lihat Ahmad Nidzammudin (2000).


  (13) Pakatan Rakyat (PR) merupakan lanjutan dari pakatan politik pembangkang pada pilihanraya terdahulu pada tahun 1999 dan 2004 iaitu Barisan Alternatif (BA). Jika ditinjau dari aspek sejarah, pakatan politik telah pun bermula pada sesi pilihanraya tahun 1964 di mana terdapat pakatan politik di antara parti-parti politik yang berfahaman sosialis, Parti Buruh dan Parti Rakyat yang membentuk Barisan Sosialis. Pada tahun 1990 pula, telah tertubuh 2 jenis pakatan politik untuk menyaingi BN di dalam pilihanraya iaitu Angkatan Perpaduan Ummah (APU) di antara Parti Semangat 46 (Parti S46), PAS, parti Hizbul Muslimin (HAMIM) dan BARJASA. Manakala pakatan yang kedua ialah di antara Parti S46, Indian Progressif Front (IPF), DAP dan beberapa parti pembangkang yang lain. Lihat Milne & Mauzy (1999) dan Verma


BIBLIOGRAFI

Barnett, M. 2005. Social contructivism. Dlm. John Baylis & Steve Smith. (pnyt). The globalization of world politics: an introduction to international relations. New York: Oxford University Press.

Jamaie Hamil et al. 2005. Budaya politik Melayu: kesinambungan dan perubahan. Dlm. Sity Daud & Zarina Othman (pnyt) . Politik dan keselamatan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zalila Sharif & Jamilah Haji Ahmad (pnyt). 1993. Kesusasteraan Melayu tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hobsbawm, E. & Ranger, T. 1983. The invention of tradition. Cambridge: Cambridge Uni Press.

Kamlin, M. 1986 Pengantar pemikiran politik Barat. Bnagi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Qassim Ahmad. 1994. Islam dalam sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Nidzammudin Sulaiman & Zaini Othman (penyusun). 2007. Kamus sains politik: politik perbandingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Marx, K. & Engels, F. 1965. The German ideology. London : Lawrence &Wishart.

Gramsci, A. 1971. Selections from the prison notebook. London: Lwrence & Wishart.

Samad (penyt). 1979. Sulalatus salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Al-Banna, G. 2006. Islam dan rasionaliti. Kuala Lumpur: Jasmine Enterprise

Pojman L . P. 2006. Philosophy: The Quest For Thruth. New York: Oxford University Press.

Nelson, R. 1996. Western political thought: From Socrates to the age of ideology. New Jersey: Prentice Hall


Boggs, C. 1976. Gramsci’s marxism. London: Pluto Press

Hobbden, S & Jones, R.W. 2001. Marxist theories of International Relations. Dlm. Smith, S & Baylis, J (edit). The Globalization of World Politics: An Introduction to International Relations, hlm 200-223. Oxford : Oxford University Press. 

Sally R. 1998. Classical liberalism and international economic order. London: Routledge.
 
Laski H & Stanley J. 1997. The rise of european liberalism. London: Routledge.

Rosen, M & Wolff , J. 1999. Political thought. London: Oxford University Press.

Milne, R.S & Mauzy, D.K. 1999. Malaysian politics under Mahathir. New York : Routledge.

Khong, K.H. 2003. British rule and the struggle for independence in Malaya 1945-1957. Petaling Jaya : SIRD.

Crouch, H. 1996. Goverment and society in Malaysia.Ithaca: Cornell University Press.

Syed Husin Ali. 2004. Merdeka, rakyat dan keadilan: Kumpulan artikel mengkritik dasar-dasar UMNO-BN dan mengemukakan asas-asas politik menuju Malaysia baru. Petaling Jaya: SIRD.

Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned. 2007. Sistem undang-undang di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Gullick, J.M. 1958. Indigenous Political Systems Of Western Malaya. London: The Anthlone Press.

Verma V. 2004. Malaysia state and civil society in transition. Petaling Jaya. SIRD.

Ahmad Nidzammudin Sulaiman. 2000. Pembentukan solidariti politik (constructed solidarity): Kajian mengenai politik gabungan Sarawak. Tesis Dr Falsafah, Jabatan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Suaram. (tanpa tarikh). Laman web rasmi suara rakyat Malaysia. Atas talian http://www.suaram.net. (tarikh akses 10 mac 2009).



1 comments:

Anonymous said...

Demang Lebar Daun berjanji setia dengan Sang Sepurba. Sang Sepurba ialah keturunan Raja Suran. Raja Suran sebenarnya ialah Rajendra Chola I yang pernah memerintah Selatan India, Ceylon, Sumatera, Semenanjung, Sebahagian Kalimantan dan sebagainya.

Maka apabila muncul keturunan Rajendra Chola I daripada kalangan orang-orang India sama ada rakyat Malaysia atau bukan, apakah orang Melayu akan bertaat setia kepada mereka dan menghormati mereka sebagaimana Demang Lebar Daun berakujanji dengan Raja Suran @ Rajendra Chola I? Apakah taraf orang Melayu sama dengan keturunan Rajendra Chola I daripada kalangan orang-orang India itu? Bagaimana kedudukan Tengku-Tengku di Tanah Melayu berbanding dengan keturunan Rajendra Chola I daripada kalangan orang-orang India itu?