Guru memainkan peranan yang penting di dalam membentuk peribadi dan sahsiah seseorang insan. Betapa pentingnya seorang guru di dalam membimbing pelajar, sehinggakan di dalam epistemologi, adab sopan yang pertama di dalam pra-syarat menuntut ilmu adalah mempercayai autoriti seseorang guru di dalam ilmu yang hendak disampaikan. Betapa pentingnya seseorang guru juga digambarkan dengan pepatah lama Melayu iaitu
”Guru kencing berdiri, murid kencing berlari”
Pepatah diatas bukanlah membawa maksud lucah,tetapi ia membawa maksud bagaimana adab sopan seseorang guru tersebut, akan dicontohi oleh anak muridnya. Jika seorang guru tersebut mempunyai adab sopan dan kesusilaan yang tinggi, maka anak murid yang menuntut ilmu dengannya akan mempunyai adab sopan keilmuan yang maha tinggi di masa hadapan. Setelah sekian lama saya tidak menulis di dalam blog, namun sempena persaraan Mahaguru saya yang dikasihi, maka saya seakan terpanggil untuk menulis suatu penghargaan kepadanya. Bukan sekadar testimoni, tetapi penghargaan yang maha tinggi di atas ilmu yang beliau curahkan kepada saya sepanjang tempoh pertapaan!..
Para tetamu ilmu yang dikasihi, Mahaguru yang saya maksudkan adalah Prof Madya Ghazali Mayudin. Seorang ahli sains politik yang berkepakaran tinggi di dalam politik Malaysia dan negara sedang membangun, khususnya di dalam kajian pilihanraya. Mungkin tulisan ini akan dikatakan berbaur emosi, bukan emosi sebenarnya, tetapi rasa hormat yang terlalu tinggi, kekaguman yang terlalu hebat akan ilmu dan peribadi yang beliau miliki. Biarlah saya mulakan dengan pengenalan saya dengan beliau di dalam 3 ½ tahun yang lalu. Menjejakkan kaki ke Universiti (bahasa sombongnya ialah MENARA GADING) bukan merupakan suatu perkara yang mudah bagi manusia-manusia seperti saya yang bukan sahaja tidak pernah meninggalkan kediaman, ia juga bukan satu perkara yang mudah apabila anda terpaksa mempelajari sesuatu disiplin ilmu yang asing kepada anda. Sememangnya politik diminati oleh semua insan, namun untuk mempelajari disiplin sains politik bukanlah suatu perkara yang mudah. Pelajaran pertama yang perlu saya lalui di dalam disiplin sains politik pada tahun 2005 dahulu adalah Pengantar Sains Politik. Pengenalan kepada ilmu sains politik, bagaimana menyelidik alam politik dengan kaedah ilmu yang tersusun dan mempunyai aturan teoritikal yang tersendiri. Perkara ini mengingatkan saya kepada mutiara kata Kwame Nkrumah iaitu ”Practice without thoughts is blind, Thoughts without practice is empty”. Namun, kesukaran itu seakan sedikit mencair bilamana ilmu yang sukar disampaikan seseorang yang lemahlembut tutur katanya, penyampaian yang berhikmah dan teratur iaitu oleh Prof Madya Ghazali Mayudin (nama popularnya dikalangan pelajar dan staff adalah Prof GM). Beliau merupakan seorang yang begitu mudah memberikan kerjasama kepada pelajar, tidak pernah marah apabila ditanya dengan pelbagai soalan yang provokatif, tidak pernah menghamburkan kata-kata kesat kepada pelajar dan tidak pernah memberikan seribu satu alasan jika pelajar memohon untuk berjumpanya selepas kuliah, malah tidak pernah menolak apabila dijemput untuk menjadi panel di dalam mana-mana seminar anjuran pelajar. Sepanjang menuntut ilmu di Program Sains Politik, beliau pernah mengajar saya pengantar sains politik dan metodologi sains politik untuk peringkat Ijazah pertama dan Teori Politik Malaysia dan Metodologi Sains Politik untuk peringkat Sarjana. Sesuatu yang saya kagumi mengenai beliau ialah, beliau tidak pernah menolak setiap hujahan pelajar,Cuma anda perlu membuktikan hujah anda mempunyai bukti yang empirikal dan rasional, bukan sekadar sembang-sembang politik kedai kopi!..Tersu terang saya katakan,walaupun beliau tidak pernah memarahi pelajar,namun saya mengakui bahawa sepanjang menuntut ilmu di dlam Program Sains Politik belaiu merupakan seorang pensyarah yang paling saya geruni. Bukan kerana beliau seorang yang garang,tetapi sifat kebapaan yang ada pada beliau menyebabkan anda secara automatik menundukan muka apabila berhadapan dengan beliau!. Mungkin ini merupakan salah satu ciri karismatik yang dipunyai oleh beliau!.
Prof Madya GM mengajar saya suatu perkara yang terpenting sebagai persiapan mendidik diri menjadi seorang saintis politik, perkara yang terbesar I dalam jurus keilmuan iaitu SENTIASA BERKATA BENAR WALAUPUN IANYA PAHIT UNTUK DITERIMA!..Pesanan ini sentiasa diulang-ulang samada semasa di dalam peringkat Ijazah pertama, mahupun ketika di dalam kuliah terakhir beliau bersama saya di peringkat Sarjana pada 3 minggu lepas untuk pelajaran Teori Politik Malaysia!..Ilmu yang terbesar yang beliau turunkan kepada saya, mungkin dapat saya katakan ialah ilmu penyelidikan sains politik iaitu metodologi politik. Beliau pernah menyatakan kepada saya bahawa jangan sesekali menipu di dalam melakukan penyelidikan. Jujurlah kepada semua pihak,khususnya kepada diri sendiri sebagai seorang penyelidik!...Penipuan di dalam penyelidikan, merupakan jenayah akademik yang tebesar yang tidak dapat dimaafkan!...Pesanan ini masih saya pegang sehingga ke hari ini..Mengenai sifatnya, beliau berpewatakan serius (sesuai dengan nilai-nilai kebapaan), namun tidak menyombong dan suka berjenaka apabila kena pada waktunya. Peluang menuntut ilmu melalui beliau tidak akan saya lupakan sehingga bila-bila masa. Ia merupakan suatu penghormatan, kerana beliau adalah generasi awal di dalam program..Dapatkah anda bayangkan betapa seniornya beliau di dalam program?...Begini,beliau merupakan pelajar awal UKM dan sempat merasai waktu sebelum dan selepas AUKU sebagai seorang mahasiswa. Beliau merupakan MAHAGURU kepada MAHAGURU saya, beliau merupakan mahaguru kepada Prod Madya Dr Ahmad Nidzammudin Sulaiman yang juga merupakan Mahaguru kepada saya. Malah, sebahagian besar pensyarah sains politik UKM yang merupakan alumni sains politik UKM merupakan anak didik beliau..Lebih 3 dekad mencurah bakti di UKM,bukan merupakan masa yang singkat!...Walauapapun, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat bersara kepada Prof Madya Ghazali Mayudin. Terima Kasih di atas segala ilmu yang anda curahkan kepada saya,mohon dihalalkan segala ilmu (perkara ini sudah saya beritahu kepada beliau semasa dikuliah terakhir) dan semoga sentiasa dilindungi oleh ALLAH SWT dan diberikan kesihatan yang baik...Jasa anda yang besar di dalam mendidik anak-anak murid mu,akan mendapat keberkatan dari Illahi!...Pesanan Prof akan diingati sepanjang hayat!...
Jikalau ada sumur diladang,
Boleh Hamba menumpang mandi,
Jikalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi,
Ilmu yang dicurah menerangi jalan,
Memancar cahaya keseluruh alam,
Jasa besar mu tidak terhingga wahai tuan,
Hanya mampu dibalas oleh Pemilik Sekalian Alam,
SELAMAT BERSARA PROF!
*Gambar di atas terpaksa diedit bagi mengelakan identiti Syeikhryz Al-Haymdan terdedah kepada umum..hahaha...
0 comments:
Post a Comment