
Can You Put a Price on Peace?....
Petikan di atas merupakan bait-bait lirik lagu ‘Peace Sells But Who’s Buying?’ yang dihasilkan oleh Megadeth. Rangkap tersebut juga turut membawa suatu wacana yang selalu diabaikan oleh para penggemar Megadeth mahupun para pencinta keamanan. Tidak ramai yang menyedari bahawa nilai “keamanan” masa kini sudah beranjak daripada sebuah wacana kepada satu komoditi.
Keamanan masa kini boleh dijual beli. Pihak Amerika Syarikat memberikan kata dua kepada Iraq ketika era pentadbiran Saddam Hussein sama ada menyerahkan ’weapon of mass destruction’ (WMD) atau bersedia menghadapi tindakan ketenteraan. Isu WMD sengaja diada-adakan sebagai alasan untuk mengabsahkan (legitimize) tindakan ketenteraan ke atas
Pihak Korea Utara dikenakan perintah sekatan dengan segala jenis terma ekonomi seperti embargo atau sanction berikutan keengganan mereka melucutkan senjata nuklear yang dimiliki. Jika kita melakukan analisis ke atas setiap konflik atau krisis, pihak yang paling terkesan tindakan yang membelakangkan nilai kemanusiaan ini ialah rakyat terbanyak! Berdasarkan bukti di atas jelas bahawa nilai keamanan itu sudah menjadi satu komoditi yang dinilai melalui wang.
Penentangan ke atas senario politik masakini yang penuh dengan korupsi, kolusi, nepotisme, kronisme mahupun kediktatoran tidak hanya mampu dizahirkan melalui aktivisme politik, bahkan ia juga boleh dilahirkan melalui apresiasi seni. Terdapat ramai artis yang menolak proses pembodohan dalam masyarakat pada era 70-an seperti Pink Floyd, meluahkan ketidak puasan hati mereka melalui lagu ‘Another Brick in The Wall’. Lagu ini membicarakan tentang proses hegemoni yang diterapkan semenjak zaman kanak-kanak melalui sistem pendidikan. Bukankah matlamat utama pendidikan itu untuk membentuk masyarakat yang ideal? Syed Naguib Al-Attas (1980:1) dalam karyanya ‘The Concept of Education in Islam’ menjelaskan bahawa:
…”Education is a process of instilling something into human being”.
Bagaimanakah bentuk masyarakat yang melalui proses hegemoni yang buruk? Penyemaian doktrin yang memberikan ‘kebenaran’ hanya kepada satu pihak sahaja? Idea yang hanya bertujuan untuk meneruskan legasi sesebuah parti politik ? Melalui lagu ‘Another Brick in The Wall’, idea tentang betapa merbahayanya proses pembodohan ini telah disampaikan dalam bentuk yang begitu santai dan mudah difahami serta digemari orang ramai iaitu ‘muzik’.
Mungkin ramai daripada kalangan pembaca meminati karya seni mendiang John Lennon. Ketika era kemuncak bantahan massa ke atas perang yang terjadi di Vietnam dan keresahan dekad 70-an, timbul kesedaran dikalangan pemuzik untuk menghasilkan sebuah karya seni yang mampu menyemai nilai keamanan ke dalam diri pendengar. Di saat inilah munculnya mendiang John Lennon mengalunkan lagu yang begitu identikal dengan keamanan iaitu ‘imagine’ (walaupun Yoko Ono mengatakan ilham lagu ini tercetus berdasarkan pengalamannya ketika perang dunia ke dua).
Perlu saya tekankan disini, muzik merupakan satu saluran yang mudah untuk menyebarkan propaganda sesuatu ideologi, agama mahupun menyebar luaskan idea universal seperti keamanan, kedamaian, keadilan dan kesaksamaan. Tulisan ini akan membincangkan berkenaan muzik dan politik khususnya analisis ringkas tentang beberapa karya seni terpilih kumpulan Megadeth yang berbentuk politik dan menentang ketidakadilan sistem sosial dunia masakini.
MEGADETH: LETUSAN API AMARAH
Megadeth terlahir berikutan konflik dalaman dan personaliti sebuah lagi kumpulan muzik heavy metal lagenda iaitu Metallica. Percanggahan personaliti dikalangan ahli iaitu di antara Dave Mustaine (gitaris utama) dengan ahli lain seperti Ron McGovney (bassist), Lars Ulrich (drummer) dan James Hetfield (penyanyi dan gitaris kedua) telah menyebabkan penyingkiran Mustaine daripada Metallica (walaupun ketika itu mereka sudah dikenali oleh komuniti muzik underground melalui demo tape mereka iaitu ’no life till leather’).
Percanggahan personaliti yang dimaksudkan di sini ialah berikutan sikap ’paranoia’ dan obses Mustaine terhadap dadah sehingga mencetuskan tindakan luar kawal seperti pergaduhan (hal ini telah dinyatakan oleh Mustaine ketika proses kaunselingnya yang dihadiri oleh Ulrich 20 tahun kemudian). Peristiwa ini yang kemudiannya memulakan perang peribadi selama hampir 20 tahun di antara Metallica dan Megadeth. Penyingkiran ini telah memberikan kesan psiokologi yang begitu mendalam ke atas Mustaine.
Ibarat dendam yang tidak berkesudahan, Mustaine berazam untuk menubuhkan sebuah kumpulan muzik Thrash-metal yang lebih berat dan laju berbanding Metallica. Hasilnya, muncullah Megadeth ke pentas muzik aliran Trash-Metal dan mengubah orientasi speed-metal berbaur lebih politik berbanding sebelum ini yang lebih terarah kepada fantasi, dadah dan syaitan!
Sepanjang penglibatan Megadeth dalam arena muzik, kumpulan ini telah melalui beberapa fasa ahli kumpulan (line up) dan menghasilkan hampir 12 album studio dan enam album live (12 juta copy terjual diseluruh dunia). Setiap era dalam Megadeth mempunyai ahli kumpulan yang berlainan (kecuali Mustaine). Di era awal pembabitan mereka dalam industri muzik, Megadeth dibarisi oleh Dave Mustaine(gitar utama & vokal), Chris Poland (2nd gitar), Gar Samuelson (drum) dan David Ellefson (bass). Barisan pemuzik ini hanya sempat bertahan sehingga kelahiran album kedua iaitu ‘Peace Sells…But Who’s Buying?’(1986).
Perbalahan yang berlaku di antara Mustaine dengan Poland serta Samuelson membawa kepada kemasukan dua anggota baru iaitu Chuck Behler dan Jeff Young. Walaupun Megadeth mengalami pertukaran ahli kumpulan dengan begitu kerap (setiap era), namun secara peribadinya penulis lebih menyukai dan mengkagumi gabungan ketika era album ‘Rust in Peace’ sehingga ‘Cryptic Writings’ iaitu Dave Mustaine,Marty Friedman,David Ellefson dan Nick Menza.
Pengembaraan Megadeth sebagai sebuah kumpulan muzik penuh liku dan pancaroba. Mungkin ada daripada kalangan anda yang pernah mendengar gelaran ‘Big Four of Thrash’ yang merujuk kepada 4 buah kumpulan muzik aliran Thrash-Metal yang unggul iaitu Metallica, Megadeth, Slayer dan Anthrax. Megadeth seringkali dibayangi kehebatan Metallica yang pernah dianggotai oleh Mustaine.
Berdasarkan temubual Mustaine ketika proses kaunseling pada tahun 2001, beliau menjelaskan penderitaan psikologi yang terpaksa ditanggung olehnya kesan daripada penyingkiran daripada Metallica pada tahun 1983. Beliau merasakan seolah-olah sering dibayangi oleh Metallica, setiap saat dalam hidupnya. Berdasarkan tekanan ini, beliau berazam untuk menyaingi Metallica dengan menubuhkan Megadeth yang lebih laju tempo dan berat susunan muziknya.
Berkenaan tema lagu yang berbentuk politik dan sosial, Mustaine pernah menyatakan bahawa ia terilham daripada pengalaman beliau yang merasakan ‘ada sesuatu yang tidak kena’ dengan sistem politik dunia, khususnya Amerika Syarikat. Malahan,Mustaine menyatakan jika beliau bukan seorang pemuzik, maka beliau kini sudah pasti menjadi Presiden Amerika Syarikat (berdasarkan rekod, beliau merupakan seorang simpatisan parti Demokrat)!.
Mustaine turut menjelaskan betapa penindasan, ketidakadilan, ketidaktelusan pentadbiran, salah guna kuasa dan elitisme dalam politik menyebabkan beliau menjadi begitu terkesan dan berusaha melahirkan rasa ketidak puasan hati tersebut melalui lagu-lagu ciptaan Megadeth!. Pada hari ini, Megadeth masih aktif menghasilkan karya seni mereka dan buah tangan seni mereka yang terbaru iaitu ‘Endgame’ telah berada di pasaran pada tahun 2009.
POLITIK, SOSIAL DAN EKONOMI DALAM KARYA MEGADETH
Isu politik sentiasa menjadi tema utama dalam penciptaan lagu-lagu Megadeth. Berdasarkan penelitian yang penulis lakukan ke atas karya-karya Megadeth dan juga sejarah penubuhannya, jelas menunjukkan betapa jiwa memberontak yang terdapat dalam diri Mustaine menjadi punca (trigger factor) kepada penghasilan karya-karya berbaur politik oleh Megadeth. Mungkin terdapat ramai dari kalangan pembaca yang tidak bersetuju dengan analisis ini. Mungkin terdapat daripada anda yang menghujahkan bahawa band merupakan sebuah entiti yang terdiri daripada gabungan individu (band members), maka setiap karya yang dihasilkan merupakan idea dan manifestasi kolektif dan bukan individu.
Analisis dan hujah di atas mungkin tepat jika anda menjadikan Pink Floyd, The Beatles, Black Sabbath, Guns N Roses serta beberapa kumpulan muzik yang lain sebagai objek kajian, di mana hampir kesemua ahli kumpulan terlibat dalam menghasilkan karya ’one hits wonder’. Walaubagaimanapun, aktiviti penghasilan idea dan karya dalam Megadeth lebih berbentuk ’one man show’ yang mana kebanyakan lagu ditulis dan dicipta oleh Mustaine. Berdasarkan hal ini, terbukti bahawa tema politik dan berontak dalam karya-karya Megadeth terlahir daripada jiwa radikal Mustaine!
Penulis akan menjelaskan wacana muzik dan kritikan politik dalam karya Megadeth kepada 4 lagu terkenalnya iaitu Peace sells but Who’s buying, Symphony of Destruction, Hangar 18 dan Washington is Next.
PEACE SELLS...BUT WHO’S BUYING? : LUAHAN KECEWA TERHADAP SISTEM DEMOKRASI?
Imej Vic Rattlehead (maskot Megadeth) memegang papan tanda ‘for sale’ berlatar belakangkan bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang musnah merupakan satu kritikan sinikal terhadap peranan PBB sebagai ‘mediator’ dalam hubungan antarabangsa. Penulis berpendapat, album ini merupakan sebuah karya berbentuk ‘Punkish Thrash Metal’ (kita umumnya sedia maklum bahawa kebanyakan lagu-lagu Punk bertema politik dan kritikan sosial, masih ingat lagu kontroversi ‘God Save the Queen’ karya The Sex Pistols?).
Ramai pengkritik muzik berpendapat album kedua Megadeth ini begitu istimewa dan lain daripada karya kumpulan heavy metal yang lain ketika itu. Susunan muzik yang padat dan kemas serta disaluti oleh tema kritikan politik sememangnya mejadikan album ini pakej lengkap bagi mereka yang percaya kepada prinsip ‘seni untuk masyarakat’. Peace Sells..but who’s buying merupakan single yang termuat dalam album istimewa ini. Uniknya lagu ini ialah bila ia membicarakan tentang luahan ketidakpuasan hati seorang ‘rakyat negara demokratik’ terhadap sistem politik dan sosial dalam negaranya. Sesuatu yang menarik bilamana lagu ini berbentuk teknik ’dialektika monolog’.
Lagu ini bermula dengan pertanyaan “What do you mean, i don’t believe in God?, i talk to Him everyday”. Dalam usaha memahami hal ini, kita perlu melihatnya daripada konteks politik Amerika Syarikat ketika itu ditadbir oleh Presiden Ronald Reagen beraliran Neo-Konservatif. Penulis berpendapat lagu ini merupakan sindiran halus kepada pentadbiran Amerika Syarikat yang baru disegarkan oleh penghayatan ‘kembali’ kefahaman agama. Sememangnya kita setiap hari berkomunikasi dengan Tuhan dan tidak memerlukan sebarang perantara dalam hubungan kita dengan Nya.
Rangkap kedua lagu ini pula berbunyi ‘What do you mean, "I don't support your system?
I go to court when I have to”. Kritikan ini ditujukan kepada sistem kehakiman Amerika Syarikat yang dikatakan cenderung menyebelahi golongan kaya berbanding rakyat terbanyak.
Berdasarkan sejarah awal Amerika Syarikat, perkumpulanan pertama puritan dari England berhijrah dan membuka penempatan di Plymouth dan seterusnya membentuk perlembagaan pertama di tanah besar benua Amerika yang di namakan sebagai “The Mayflower Compact” dan ini membuka ruang kepada pembukaan koloni Inggeris di benua tersebut. Namun, perlembagaan ini hanya memberikan hak dan perlindungan istimewa kepada golongan kapitalis British sahaja.
Sememangnya Perlembagaan Amerika Syarikat ada mencatatkan “everyone is equal” namun hakikatnya ‘equality’ yang dilaungkan tidak dilaksanakan sepenuhnya. Perlu kita sedari bahawa sehingga dekad 60-an masih terdapat polisi segregasi di antara golongan kulit putih dan kulit hitam. Masihkah anda ingat kes Rossa Park?, ditangkap dan dihukum hanya kerana enggan berganjak daripada tempat duduk yang dikhususnkan untuk golongan kulit putih. Beliau melalui proses mahkamah dan hasilnya memang telah diduga! Peristiwa sejarah beginilah yang menjadi intipati karya agung ini oleh Megadeth.
Jika anda meneliti lagu ‘peace sells but who’s buying’, anda akan memahami betapa karya ini terhasil daripada ketidakpuasan hati terhadap sistem demokrasi (dikategorikan sebagai pseudo-democracy ?). Menariknya karya ini bilamana Megadeth begitu sinis melalui ‘monolog’ tersebut bertanyakan hak beliau sebagai seorang rakyat untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat.
Ayat “What do you mean, "I couldn't be president, of the United States of America"? Tell me something, it's still "We the people", right”? begitu menarik jika kita analisis dalam konteks hak asasi dan kuasa. Sememangnya kita (baca: rakyat) yang memilih pemimpin, namun hakikatnya ‘kuasa ekonomi’ oleh elit-elit politik yang menentukan siapa yang akan muncul sebagai Presiden. Jika kita kaji secara teliti seakan terdapat ironi dalam politik Amerika Syarikat bilamana ‘Founding Fathers’ sewaktu bermesyuarat untuk merangka perlembagaan negara sebulat suara menolak sistem monarki diguna pakai sebagai sistem bernegara.
Namun, selepas beratus-ratus tahun merdeka dan mempunyai seramai 44 orang Presiden, neo-monarchy masih berlaku di ‘tanah demokrasi’ ini. Lihatlah kepada dominasi keluarga politik Kennedy, Bush dan beberapa keluarga lain yang bersaing sesama mereka untuk menjadi Presiden. Mungkin sebahagian daripada anda akan berhujah dakwaan ini silap berikutan Presiden Obama tidak berasal daripada keluarga politik yang berpengaruh. Namun saya menjamin dalam masa 20-40 tahun daripada sekarang Amerika Syarikat akan mempunyai seorang Presiden atau sekurang-kurangnya Senator dari keluarga Obama. Budaya politik sebeginilah yang menjadi sasaran kritikan Megadeth sejak hampir 2 dasawarsa yang lalu, maka tepatlah ungkapan ‘Peace sells but who’s buying?”
HANGAR 18: MANIFESTASI PERSAINGAN KUASA BESAR DUNIA
Jika anda merupakan seorang peminat tegar Megadeth, sudah semestinya anda akan meminati lagu Hangar 18 yang dicipta oleh Mustaine dan lirik ditulis oleh Nick Menza. Lagu ini sememangnya menjadi pilihan ramai peminat Speed Metal/Heavy Metal/Thrash Metal sepanjang zaman kerana kemahiran permainan gitar oleh Mustaine dan Marty Friedman. Mungkin anda masih mengingati peristiwa kapal Appolo 11 menerobos ke angkasa lepas dan pendaratan Neil Amstrong. Pendaratan Neil Amstrong di bulan berlaku selepas USSR berjaya menghantar angkawasannya Yuri Gagarin ke angkasa lepas. Perang dingin menyaksikan kedua-dua buah kuasa besar dunia ini saling bersaing di antara satu sama lain.
Namun, timbul satu teori bahawa sebenarnya Neil Amstrong tidak sampai ke bulan, tetapi video pendaratan bersejarahnya dikatakan dirakam di kawasan rahsia tentera ’Area 51’ di Amerika Syarikat (Benarkah bendera boleh berkibar seperti ditiup angin sedangkan di bulan tiada tiupan angin, tanpa tarikan graviti masakan tapak kasut boleh terhasil? Mungkin ada penjelasan saintifik disebalik hal ini).
Berdasarkan penelitian yang dilakukan oleh penulis, dapat diandaikan bahawa lagu ini merupakan kritikan halus kepada pentadbiran Amerika Syarikat khususnya peranan yang dimainkan oleh CIA). Melalui lirik "The military intelligence, two words combined that can't make sense” jelas bahawa lagu ini mengkritik peranan yang dimainkan oleh CIA melalui projek penyelidikan sulit sama ada penghasilan senjata nuklear, misteri angkasa lepas mahu pun konspirasi di atas nama ’greatest leap for mankind’!
Penulis begitu tertarik dengan lirik "Computer banks to rule the world, instruments to sight the stars”. Sememangnya sudah menjadi satu rahsia umum bahawa Amerika Syarikat merupakan negara yang mempunyai maklumat yang pelbagai daripada ekonomi, sosial membawa kepada politik negara-negara seluruh dunia. Pengumpulan data ini bertujuan untuk memudahkan ia memanipulasi pasaran (mungkin), menjatuhkan mana-mana musuh politiknya di atas nama demokrasi (seperti yang berlaku kepada Saddam Hussein, Peron dan Norriega). Masihkah kita ingat krisis ekonomi di Asia ketika tahun 1997? Ramai daripada kita yang menyalahkan George Soros sebagai punca kepada merudumnya ekonomi negara ketika itu berikutan kegiatan spekulasi matawangnya.
Daripada manakah Soros mendapat maklumat yang tepat untuk melakukan kegiatan ini ? Mungkinkah beliau merupakan salah seorang agen CIA? Walau bagaimanapun ini hanyalah andaian penulis sahaja. Perkara yang penting ialah untuk menerangkan bagaimana lagu ciptaan Megadeth ini sudah merakamkan betapa “Computer banks to rule the world”. Penulis sungguh tertarik dengan lagu ini kerana ia seakan menggambarkan si penggubah lagu membaca karya Alvin Toffler ‘Future Schocks’ yang meramalkan manusia akan melalui sindrom ‘information overload’ di masa hadapan. Nampaknya sebahagian analisis Toffler telah dijadikan intipati lagu Megadeth!
Pasca perang dingin, Amerika Syarikat melalaui transisi sebagai kuasa unipolar, namun dengan kebangkitan persaingan ideologi/konsep lain seperti regionalisme, nasionalisme dan agama khususnya Islam. Memungkinkah Amerika Syarikat masih merancang sesuatu untuk menamatkan persaingan ini di Hangar 18, area 51? Possibly i've seen to much, Hangar 18 i know too much...
SYMPHONY OF DESTRUCTION: KRITIKAN KEPADA ELIT POLITIK NEGARA
..It’s about the masses being led to their own destruction by the leader who’s more or less a puppet to the phantom government.
-Mustaine
Bersandarkan memori yang masih berfungsi, penulis pertama kali mendengar lagu ‘Symphony of Destruction’ ketika berumur 10 tahun ( tahun 1995) melalui klip videonya yang memaparkan seorang yang lagaknya seperti Presiden atau Perdana Menteri sebuah negara ditembak oleh seorang pembunuh upahan ketika sedang berjumpa rakyat. Lagu ini dimuatkan dalam album ‘Countdown to Extinction’ yang diterbitkan pada tahun 1992.
Berdasarkan kajian yang penulis lakukan, lagu ini mula berkumandang di corong radio ketika Presiden George Bush Sr sedang bergelut untuk memastikan beliau terpilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat. Beliau ketika saat itu diramalkan berhadapan Gabenor Arkansas, Bill Clinton daripada parti Demokrat.
Lagu ini merupakan satu kritikan terhadap kepimpinan elit-elit politik di Amerika Syarikat ketika era tersebut. Perlu kita ingat bahawa ketika era ini, Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan defisit kesan penglibatannya dalam perang teluk dengan Iraq. Penipuan, konspirasi dan penyelewengan yang dilakukan oleh elit politik telah menyebabkan keresahan di kalangan rakyat.
Lagu ini bermula dengan ayat “You take a mortal man and put him in control, Watch him become a god, Watch peoples heads a'roll”. Melalui lagu ini, dapat kita fahami bahawa budaya sering mengangkat pemimpin dengan pujian, ampu dan meraikan mereka secara berlebihan cenderung menjadikan pemimpin tersebut lupa diri. We watch him become a god!. Semua negara, tidak terkecuali sama ada negara maju, sedang membangun atau mundur mempunyai tradisi mengangkat pemimpin sehingga ke peringkat yang tidak sepatutnya. Mungkin sesetengah pembaca pernah mendapat pendidikan Sains Politik atau Sosiologi dan mungkin agak biasa mendengar teori elit analisis tokoh akademik (yang boleh dikategorikan sebagai klasik) seperti Gaetano Mosca, Vilfredo Pareto dan Robert Michels.
Penulis masih ingat analisis Robert Michels dalam karyanya ‘Political Parties: A Sociological Study of the Oligarchical Tendencies of Modern Democracy’ terbitan tahun 1915. Dalam usaha menerangkan tentang hubungan diantara pengikut dan pemimpin, Michels membahaskan tentang ‘the cult of veneration among the masses’. Tokoh seperti Ramsay McDonald, Adler dan Daszynski sering dipuja oleh pengikutnya disebabkan kemahiran berucap yang mereka miliki.
Budaya memuja pemimpin ini juga menular di Malaysia bilamana terdapat ramai daripada pengikut setia Anwar Ibrahim begitu marah jika ada penganalisis mengkritik corak kepimpinan Anwar Ibrahim dalam Parti Keadilan Rakyat (masih ingat bagaimana Prof. Shamsul Amri Baharudin dicemuh dengan panggilan ‘Professor kangkung/bodek’ berikutan kritikan beliau ke atas kepimpinan Anwar Ibrahim yang beliau dakwa belum lagi menjadi ahli rasmi parti Keadilan Rakyat walaupun sudah menjadi Ketua Umum). Perkara yang hampir serupa berlaku kepada ahli akademik seperti Prof Terrence Gomez selepas penganjuran buku tulisan Barry Wain oleh para pendukung Dr Mahathir. Budaya memuja pemimpin berlaku dalam semua parti dan tidak terkecuali parti Islam.
Sikap memuja pemimpin inilah yang dikritik oleh Megadeth. Megadeth menyamakan kepimpinan sebegini sebagai tradisi “Just like the Pied Piper, Led rats through the streets”. Adakah anda semua masih ingat kepada kisah rakyat (folklore) barat iaitu ‘Pied Piper of Hamelin’? Beliau meniup seruling dan membawa sang tikus yang menganggu bandar ke dalam air (jika tidak silap). Pengajarannya daripada kisah ini, kita sering berada dalam situasi hegemoni. Terpengaruh dan terpedaya secara halus oleh pemimpin sehingga tidak sedar sebenarnya mereka sedang memimpin kita ke arah kehancuran. Tidak perlu anda ‘cracking your head’ membaca Prison Notebook oleh Antonio Gramsci untuk memahami yang anda sebenarnya sering diperdaya secara halus melalui hegemoni pemerintah. Apa yang perlu anda lakukan adalah mendengar dan menghayati lagu ‘Symphony of Destruction’ buah tangan Megadeth selama 7 kali dan saya yakin anda akan faham apakah yang sedang saya cuba sampaikan melalui tulisan ini.
Penutup kepada lagu ini juga begitu menarik sekali bilama ia ditamatkan dengan ayat “The earth starts to rumble,World powers fall,A'warring for the heavens,A peaceful man stands tall,Tall...”. Sememangnya hanya mereka yang cintakan keamanan, kebenaran dan kedamaian sahaja yang akan kekal, walaupun hanya dalam bentuk idea dan prinsip perjuangan berbanding prinsip pragmatik yang disalah gunakan oleh pemimpin korup.
WASHINGTON IS NEXT: PERCATURAN POLITIK TATA BARU GLOBAL?
Secara jujurnya penulis berpendapat lagu ini merupakan lagu Megadeth yang paling radikal dalam mengkritik aspek sosial, politik dan ekonomi. Lagu ini termuat dalam album ‘United Abnomitions’ yang menampilkan ‘line up’ baru Megadeth. Jika diulas daripada aspek teknikal sememangnya album ‘United Abnomitions’ menunjukkan kematangan Megadeth dalam berkarya di mana susunan muzik yang lebih kemas berbanding album ‘The System Has Failed’. Album ini juga menunjukkan ‘prinsip dan kehidupan beragama’ yang baru dikecapi oleh Mustaine selepas pulih daripada paranoia yang beliau alami selama hampir 2 dasawarsa.
Washington is Next pada asasnya menceritakan bagaimana rancangan menguasai dunia oleh Amerika Syarikat. Penulis begitu tertarik dengan ayat “The quiet war has begun with silent weapons, and the new slavery is to keep the people,poor and stupid, "Novus Ordo Seclorum". Pada pendapat penulis, quite war yang dinyatakan oleh Megadeth ialah penyusupan budaya hedonisme ke dalam gaya hidup masyarakat.
Di kaca televisyen, rakyat dilekakan dengan pelbagai rancangan seperti American Idol (dalam bahasa Greenday American Idiot) dan beberapa rancangan lain (seperti The Osbournes Family yang mana Ozzy Osbourne memalukan dirinya dan reputasi Rockstar beliau). Penyusupan budaya hedonisme ini dilihat telah melekakan rakyat. Lupa akan hak-hak demokratik mereka, hilang kesedaran politik sehingga boleh ditipu oleh Presiden Bush dengan dakwaan Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan ancaman terorrisme global.
Lirik yang berbunyi “There was a King (evil king) who dreamt the wickeness of dreams, an ancient mystery no prophet could interpret” dengan jelas sekali menempelak Presiden Bush yang meneriakkan ke seluruh negara bahawa Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan ancaman yang begitu dasyat (yang ditandai oleh peristiwa serangan ke atas WTC pada 9/11). Penulis berpendapat apa yang cuba Megadeth sampaikan berdasarkan lirik di atas begitu hampir dengan kisah Firaun yang bermimpi akan muncul seorang lelaki yang mampu meruntuhkan kekuasaan beliau.
Berikutan itu, Firaun mengambil tindakan ‘pre-emptive’ dengan mengarahkan kesemua bayi lelaki dibunuh (strategi pre-emptive sudah mula sejak zaman dahulu lagi). Hal yang sama turut dilakukan oleh Presiden Bush dalam menghadapi ‘ancaman’ sehingga memperdaya PBB yang Iraq mempunyai weapon of mass destruction (WMD) untuk menghalalkan serangan ke atas negara tersebut di atas nama demokrasi (masih ingat democratic peace theory?). "Novus Ordo Seclorum"!
Penulis begitu tertarik dengan lagu ini yang turut menceritakan tentang bagaimana pemikiran rakyat dirosakkan dengan pelbagai saluran. “Disengage their minds, sabotage their health, promote sex, and war, and violence in the kindergartens,blame the parents and teachers; it's their fault, "Annuit Coeptis". Walaupun teknik ini sudah dilakukan beratus-ratus tahun yang lalu, namun ia masih menjadi pilihan ramai pakar taktikal politik masa kini untuk mengekalkan regim yang berkuasa.
Paling menarik mengenai lagu ini ialah percubaan Megadeth mengaitkan ‘Zionism’ sebagai dalang kepada segala peristiwa dan tragedi yang berlaku di dunia kini. Rahsia umum kepada masyarakat dunia. Namun, perkara yang paling menarik perhatian ialah bagaimana “The word predicts the future and tells the truth about the past of how the world leaders were hailed unto Pharaoh,The Eighth False King to the Throne, Washington is Next!”. Era Pax Americana ini menyaksikan transisi sistem global ke arah neo-empire melalui penguasaan Amerika Syarikat ke atas institusi antarabangsa seperti IMF, PBB, World Bank dan lain-lain (yang dipercayai oleh pendukung idealis berfungsi untuk mendamaikan dunia). Sebenarnya sistem antarabangsa masakini sedang menuju ke arah ‘Neo-Pharaoh’ yang mana segala percaturan antarbangsa akan ditentukan oleh Presiden Amerika Syarikat yang dikawal oleh Israel yang pula semestinya oleh Zionisme. Tahniah Megadeth, anda telah menerangkan kepada orang ramai (masses) secara mudah dan santai.
KESIMPULAN
Analisis politik tidak terbatas kepada perdebatan siapa membaca buku apa, mengkaji tokoh yang mana atau menyokong parti apa. Sebaliknya analisis politik boleh disampaikan melalui saluran lain seperti muzik. Penulis percaya muzik merupakan alat hegemoni yang terbaik untuk proses sosialisasi sesuatu ideologi atau apa sahaja ajaran samada sesat atau benar. Ia boleh menjadi alat hegemoni atau alat hegemoni balas (counter hegemoni) kepada mana-mana pihak sekalipun.
Jika anda mengikuti sejarah muzik dan politik, anda akan menemukan fakta yang karya muzik klasik ‘The Ride of Valkrie’ digunakan oleh tentera Nazi untuk meningkat semangat juang mereka dalam perang dunia kedua. Melalui muzik, mesej keamanan dan kejahatan dapat disampaikan secara efektif dan mudah.
Sebagai seorang pengkaji politik amatur, penulis berpendapat amalan memperlekehkan muzik sebagai penyebar kesesatan oleh sesetengah aktivis dan ahli politik ‘Houlier Than Thou’ merupakan pendapat yang dangkal dan perlu dinilai semula. Seni itu merupakan kurniaan Illahi yang paling bernilai kepada umat manusia. Terpulang kepada kita sebagai ‘haiwan yang berakal’ untuk menggunakannya ke jalan yang mana satu, sama ada kesesatan mahupun kebenaran.
Megadeth merupakan contoh satu kumpulan muzik yang konsisten dalam menghasilkan karya seni muzik bercorak kritikan terhadap politk, sosial dan ekonomi. Karya muzik yang mereka hasilkan tidak hanya bersandarkan nota-nota muzik yang mereka susun bahkan turut mengandungi pesanan dan kritikan terhadap sistem yang sedia ada. Selama hampir 2 dasawarsa mereka berkarya, penulis percaya mereka berjaya menyedarkan ramai individu tentang kesedaran politik.
Melalui pengalaman penulis sendiri, kesedaran awal mengenai politik datang setelah mendengar karya muzik Megadeth. Tidak semua lapisan masyarakat mampu memahami konsep-konsep dan teori politik yang terlalu kompleks, namun penulis percaya melalui karya muzik Megadeth, mereka setidak-tidaknya mula memahami tentang hak demokratik mereka sebagai rakyat dalam sebuah entiti politik iaitu negara.
Megadeth jika dibandingkan dengan kumpulan muzik yang lain lebih terkehadapan dalam membicarakan soal politik melalui seni. Walaupun melalui pertukaran ‘line up’ yang kerap dalam tempoh 20 tahun lebih, namun hasil karya mereka ternyata tidak pernah mengecewakan khususnya kepada ‘peminat dunia politik’. Penulis mencadangkan kepada semua pembaca yang berminat tentang analisis politik agar terlebih dahulu mendengar karya muzik Megadeth. Terdapat banyak karya muzik lain Megadeth yang berbaur politik, namun tulisan ringkas ini dirasakan cukup untuk memberikan pemahaman awal (prolegomena overview) kepada pembaca mengenai wacana muzik dan politik.
“Possibly I've seen to much
Hangar 18 I know too much”...
1 comments:
t's such a great site. cool, quite fascinating!!!
-------
[url=http://oponymozgowe.pl]Opony Mozgowe[/url]
[url=http://pozycjonowanie.lagata.pl]Pozycjonowanie[/url]
[url=http://sensible.pl/zdrowie,i,uroda/opony,s,1596/]opony[/url]
Post a Comment