>

Tuesday, November 17, 2009

MITOS, KONSTRUKSI SOSIAL DAN KEMUNCULAN INTELEKTUAL ORGANIK DALAM SEJARAH NEGARA


Pergolakan politik nasional pasca Pilihan raya umum 2008 (PRU 12) memperlihatkan kemunculan pelbagai pihak yang mengaku menjuarai isu Melayu khususnya dan rakyat umumnya. Dalam perhimpunan Agung UMNO, banyak pihak membincangkan peri pentingnya masyarakat bawahan dibela. Muktamar PAS turut tidak terlepas dari membincangkan isu keperihan masyarakat bawahan yang sering terhimpit kehidupannya lantaran dari desakan ekonomi. Penulis tertarik dengan ucapan yang disampaikan oleh saudara Y.B Khairy Jamaluddin yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO. Beliau menjelaskan betapa masyarakat Melayu masih ketinggalan dalam semua bidang sama ada pendidikan mahupun ekonomi (selepas 52 tahun merdeka). Selain itu, terdapat juga beberapa pemimpin Melayu yang menyuarakan tentang kepentingan melindungi hak keistimewaan Melayu dari diguggat oleh kaum lain khususnya Cina dan India. Tidak kurang juga saranan “jihad” bagi meneruskan survival bangsa Melayu oleh politikus jelik seperti Y.B Ibrahim Ali.


Pasca PRU 12 juga memperlihatkan kemunculan sentimen primordial sebagai modal politik oleh para politikus Melayu. Secara tiba-tiba, golongan ini mula menyuarakan tentang ancaman kepada akidah Islam. Perkara ini dapat dirujuk kepada insiden bantahan pembinaaan kuil di seksyen 23 Shah Alam dengan mengarak kepala lembu. Peristiwa pemberian hak pajakan tanah selama 999 tahun di Perak turut dibesar-besarkan seolah-olah kaum Melayu sedang dalam situasi terancam. Manakala pihak Pemuda UMNO pula melafazkan kesediaan untuk bermati-matian mempertahankan keistimewaan Melayu seperti yang termaktub di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (ironinya mereka melupakan perkara 152 Perlembagaan). Insiden-insiden sebegini memperlihatkan betapa konsep kerukunan kaum yang kita warisi selama ini semakin rapuh dan menanti masa untuk runtuh.


Penulis selaku seorang yang dilatih sebagai pengkaji politik dan maseh amatur, dari kejauhan merasa sedih dan berasa begitu meluat dengan sikap pura-pura mereka yang kononnya pembela bangsa. Tidakkah mereka terfikir bahawa disebabkan oleh polisi-polisi songsang yang dihasilkan oleh pemerintah sendiri telah menyebabkan kaum Melayu semakin ketinggalan dalam pelbagai bidang sama ada ekonomi, politik dan sosial? Laungan mempertahankan survival bangsa Melayu oleh pihak-pihak ini hanyalah topeng untuk mengekalkan sistem “patron-client” yang mereka warisi sejak zaman berzaman untuk memperkayakan kelompok tertentu sahaja tetapi bukan untuk Melayu keseluruhannya. Mereka sesungguhnya maseh mengekalkan mentaliti neo-feudal yang mereka warisi dari zaman feudal dahulu. Penulis ingin menarik perhatian para tetamu ilmu akan sistem patron-client yang telah berakar lama dalam budaya politik masyarakat Malaysia.

MITOS SEBAGAI TERAS SISTEM PENAUNG-DINAUNG


Sistem Patron-Client (penaung-dinaung) sememangnya telah mula berakar dalam budaya Melayu ketika persetujuan mitos oleh Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun. Elemen-elemen keIslaman seperti term ”waadat” telah dimasukkan oleh pengarang DiRaja (yang sebenarnya lebih kepada editor dan penyusun nashkhah) iaitu Tun Seri Lanang dengan tujuan seolah-olah perjanjian tersebut bersesuaian dengan syarak. Unsur-unsur ini digunakan bertujuan mendapatkan legitimasi pemerintahan. Saya percaya yang Demang Lebar Daun sedang dalam situasi ”hegemoni” akal warasnya tatkala menerima perjanjian tersebut. Mungkin beliau terpesona dengan sikap karismatik yang ada pada Sang Sapurba. Perbualan dibawah jelas menunjukkan betapa Demang Lebar Daun sedang berada dalam keadaan hegemoni:

...Seperkara lagi patik mohonkan ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, jangan duli tunku aibi.
(Samad 1979:25)


Jelas menunjukkan betapa Demang Lebar Daun yang dikatakan mewakili rakyat (golongan yang diperintah) menerima tanpa bantahan terhadap syarat yang dinyatakan oleh Sang Sapurba (golongan yang memerintah). Seperkara yang diminta oleh beliau ialah supaya pihak pemerintah tidak menjatuhkan maruah rakyat. Berdasarkan perkara ini jelas bahawa seolah-olah pihak pemerintah (Sang Sapurba) diberikan “cek kosong” untuk beliau melakukan apa sahaja yang beliau mahukan. Tidak hairanlah dalam sejarah Melayu digambarkan betapa banyak kes-kes kezaliman oleh pemerintah ke atas rakyat seperti pembunuhan Tun Besar (anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak), Megat Seri Rama yang dibunuh isterinya dan sebagainya. Cuma hanya karekter Sang Rajuna Tapa yang dilihat lebih menyimpan dendam (berniat) untuk menghapuskan keseluruhan kerajaan (kerana kebanyakan karekter yang lain seperti Hang Jebat dan Megat Seri Rama hanya ingin menghapuskan pemerintah(aktor) dan bukan sistem kerajaan).


Di atas mitos “waadat” ini kita telah dihegemonikan dengan satu lagi mitos iaitu “pantang Melayu derhaka kepada Rajanya”. Apa yang ingin penulis nyatakan di sini ialah tentang bagaimana mitos “pantang derhaka” ini telah mengalami transisi idea kepada “pantang Melayu melawan pemimpin” dalam budaya politik Melayu masa kini. Bertitik-tolak dari mitos-mitos ini, kita menerima secara melulu idea “ketuanan Melayu” yang diteriakkan sejak zaman berzaman oleh pemimpin negara. Menurut hemat penulis idea ini merupakan teras kepada “sistem patron-client” dalam politik masakini.


Para pembesar negara bernaung dan bersatu padu untuk mengekalkan kekuasaan pemimpin atasannya dari dicabar dan dihapuskan. Sebagai pampasan, mereka akan dianugerahkan dengan pelbagai kontrak dan kekayaan. Jika saudara-saudari sekalian mencerap persoalan ini dengan cermat, anda akan jelas betapa jika kesetiaan dahulunya tertumpah kepada Raja, maka pada masa kini ia telah terarah kepada pemimpin negara seperti Perdana Menteri dan lain-lain. Lanjutan dari perkara ini kita telah disogokkan dengan cerita-cerita ancaman kepada kelangsungan bangsa Melayu, ancaman kepada perpaduan dan keselamatan negara. Penulis berpendapat hal ini dapat dijelaskan sebagai “orchestrated myth” yang berfungsi sebagai “focal point” untuk membawa masyarakat Malaysia pada umumnya dan Melayu secara khususnya untuk terus kekal dalam “kitaran ganas” budaya politik neo-feudal pemerintah.


INTELEKTUAL ORGANIK DAN KESEDARAN POLITIK


Antonio Gramsci (1891-1937) pernah menjelaskan tentang kewujudan intelektual organik dalam memobilisasikan massa menentang kezaliman dan hegemoni pemerintah. Intelektual seperti ini wujud berdasarkan pengalaman dan situasi semasa sesebuah negara dan bangsa. Ia wujud dalam setiap sejarah manusia dan lahir atas rasa keinsafan untuk memperjuangkan hak mereka yang tertindas. Mereka tidak semestinya menerima pendidikan tinggi dalam mencetuskan idea perubahan tetapi muncul kerana desakan situasi. Seperkara yang jelas tentang intelektual organik ialah mereka faham bahawa “telling the truth is always revolutionary”. Berdasarkan perkara ini mereka sedia menghadapi sebarang kemungkinan hasil dari tindakan radikal mereka dalam membela rakyat tertindas.


Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) ada memperihalkan tentang intelektual organik yang klasik iaitu Hang Nadim. Beliau tidak mempunyai pendidikan tinggi, tidak mempunyai status sebagai elit bangsawan dan hanya seorang anak muda. Namun idea beliau tentang benteng batang pisang telah menyelamatkan Singapura dari serangan todak. Terdapat banyak pihak yang mengangkat Hang Jebat sebagai ikon mempertahankan keadilan namun pada hemat penulis, Hang Jebat tidak boleh dikategorikan sebagai intelektual organik kerana beliau tidak berjuang demi kepentingan rakyat marhaen bahkan beliau sendiri merupakan sebahagian dari sistem monarki tersebut. Beliau hanya mula memberontak kepada Sultan apabila baginda menjatuhkan hukum ke atas Hang Tuah (sahabat baik Hang Jebat) tanpa usul periksa. Jika baginda Sultan tidak menitahkan perintah bunuh ke atas Hang Tuah, apakah ada kemungkinan bagi Hang Jebat untuk memberontak? Jelas sekali catatan sejarahnya pasti berbeza!.


Intelektual organik yang lain turut muncul dalam sejarah bangsa lain seperti di Selatan Thailand. Tuan Guru Hj Sulung boleh digambarkan sebagai intelektual organik bilamana beliau mengemukakan idea untuk menambahbaikkan status masyarakat Melayu di Selatan Thailand. Beliau tidak terlatih dalam bidang sains politik atau ilmu pemerintahan, namun beliau berjaya mengagaskan idea pengisian 80 % jawatan awam penggunaan pendapatan hasil bumi di Selatan Thailand khusus untuk masyarakat tempatan (bukan untuk diangkut ke Bangkok). Namun, sejarah memperlihatkan betapa intelektual organik tidak dihargai oleh pemerintah dan sering dianggap sebagai ancaman kekuasaan dan hegemoni pemerintah. Kejayaan intelektual organik dalam menggerakkan kesedaran politik (political conciousness) seringkali dilihat sebagai pemberontak. Kerana mereka menyatakan kebenaran adalah suatu yang mampu menguggat hegemoni pemerintah!


Hamid Tuah merupakan salah seorang intelektual organik yang pernah ada di Malaysia. Beliau dilahirkan di Babus Salam, Tanjung Pura Indonesia dan kemudiannya berhijrah ke Tanah Melayu (sebelum bertukar kepada Malaysia). Menurut kisah yang diperikan oleh anak beliau iaitu Siti Noor, ayahanda beliau merasa terkesan dengan situasi sosio-ekonomi masyarakat ketika itu. Hamid Tuah melihat bagaimanakah rakyat marhaen di Tanah Melayu boleh dikatakan merdeka sedangkan sektor ekonomi dikawal dan dipunyai oleh orang Inggeris? Masyarakat tempatan hanya berkhidmat sebagai pekerja di ladang-ladang kepunyaan Inggeris dan tidak mempunyai tanah sendiri!


Hasil dari kesedaran ini beliau telah mengetuai 100 orang petani untuk mendapatkan hak pemilikan tanah. Namun kawasan dimana beliau mengetuai petani terbabit telah dinamakan sempena nama Pegawai Daerah ketika itu (yang langsung tidak terlibat dalam perjuangan) iaitu Johan Setia. Hamid Tuah turut berjasa kepada masyarakat tani di Tanjung Karang (kawasan asal penulis) bilamana beliau membantu para petani membuka tanah pertanian. Implikasi dari perkara ini beliau telah ditahan oleh pihak pemerintah atas alasan membuka tanah haram! Seperkara yang membuatkan penulis merasa hairan ialah apakah fungsi pemerintah ketika era tersebut? Dalam keadaan banyak rakyat yang tidak mempunyai tanah sama ada untuk tujuan pertanian mahupun penempatan, pihak kerajaan masih tidak mempunyai inisiatif untuk mengadakan skim penggagihan tanah kepada rakyat? Jawapan kepada persoalan ini ialah pihak kerajaan masih terbelenggu dalam mentaliti feudalisme di mana setiap tanah hanya dibahagikan kepada para elit tempatan yang rapat dengan pihak pemerintah. Para elit tempatan ini pula akan menyewakan “tanah kurniaan” mereka kepada rakyat marhaen untuk tujuan pertanian seperti penanaman padi dan lain-lain aktiviti pertanian.


Tugas hakiki mereka ialah mengutip sewa ataupun meminta sebahagian hasil pertanian dari para petani setiap kali musim menuai tiba. Jelas ini adalah perbuatan orang malas dan mengkonstruksikan kemalasan mereka dalam sistem ekonomi masyarakat melalui sistem pajakan tanah yang direstuai melalui polisi kerajaan ketika itu. Penulis masih mengingati penyelidikan terkenal oleh James C Scott (weapons of the weak) di Kampung Sedaka,Kedah. Kewujudan kelas tuan tanah (landlords) seperti Haji Broom yang mengaut keuntungan melalui kaedah yang sama seperti di atas. Kewujudan manusia-manusia seperti ini yang direstui dan dilindungi oleh sistem menyebabkan kitaran kemiskinan dalam masyarakat semakin buruk dari hari ke hari.


Perjuangan Hamid Tuah bukan sahaja terhenti setakat itu bahkan ia berjaya meninggalkan impak yang besar kepada masyarakat. Hasil dari sikap dedikasi beliau rakyat khususnya kaum intelektual (mereka yang menerima pelajaran di universiti) mula bangkit mempersoalkan ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat (mungkin juga atas kesedaran ini pentadbiran negara kemudiannya memperkenalkan skim FELDA untuk membantu rakyat yang tidak bertanah). Kesedaran yang timbul ini jelas sekali dipacu oleh seorang ikon yang tercerah pemikirannya secara organik (situasi dan pengalaman). Sikap dedikasi yang ditonjokan oleh Hamid Tuah inilah yangs eharusnya melayakkan beliau digelar sebagai hero sebenar orang Melayu bukan golongan neo-feudal yang hanya mampu bersyarah dan menghayun keris di pentas-pentas politik. Para etno-nasionalis pada masa kini tidak mempunyai jiwa yang kental seperti Hamid Tuah. Jiwa memperjuangkan nasib bangsa mereka telah dilitupi oleh nafsu mendapatkan kontrak demi kesenangan kelompok mereka. Di atas alasan ini mereka bersepakat sesama mereka untuk mengekalkan patron-client dan berpura-pura memperjuangkan bangsa demi meraih sokongan massa yang terpukau dengan slogan-slogan yang telah dilaungkan.

KESIMPULAN

Sejarah negara yang ditulis mengikut persepsi sebelah pihak cenderung memadamkan nilai kebenaran. Tindakan sebegini membawa kepada proses pengherotan fakta-fakta sejarah. Tujuan akhir kepada tindakan sebegini ialah untuk mewujudkan “hegemoni” dalam fikiran rakyat. Seolah-olah digambarkan hanya satu pihak sahaja yang berjasa dalam pembinaan negara. Proses sebeginilah yang akhirnya membawa kepada kemandulan intelektual rakyat dalam memahami realiti kehidupan yang sebenar.


Para etno-nasionalis pada hari ini seharusnya malu kepada sosok intelektual organik seperti Hmaid Tuah. Beliau berjuang bukan untuk balasan kemewahan. Beliau sanggup dihumban ke penjara bukan kerana untuk mempertahankan sesuatu ideologi yang beliau yakini, tetapi beliau sanggup menderita kerana beliau percaya dan faham akan apa itu makna keadilan dan kebebasan! Jiwa pejuang seperti beliau inilah yang tidak dipunyai oleh pemimpin negara pada hari ini. Politikus sama ada dari pihak pembangkang mahupun dari pihak kerajaan hanya berminat untuk membina dan menggantikan hegemoni ke atas rakyat. Kerana itulah walaupun berubah pemerintah dalam negara, sistem seperti patron-client masih diamalkan walaupun sebelumnya rakyat telah dijanjikan dengan perubahan. Perkara ini terjadi lantaran dari perubahan yang tidak disandarkan kepada idea tetapi lebih kepada emosi.

Negara kita memerlukan perubahan yang dijana oleh intelektual. Kerana golongan sebegini yang lebih memahami kepentingan rakyat berbanding kelompok pseudo-politikus yang lebih berminat dengan kehendak peribadi. Fakta sejarah perlulah digali semula dengan memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada mereka-mereka yang gugur dalam memperjuangkan keadilan dan hak rakyat. Penulis yakin, jika generasi muda dapat memahami semangat perjuangan seperti yang terdapat dalam jiwa Hamid Tuah, Malaysia akan mampu keluar dari segala macam masalah yang dihadapi ketika ini seperti rasuah, salah guna kuasa, kemunduran kemiskinan dan ketidakadilan dalam masyarakat. KITARAN KETIDAKADILAN DAN MITOS YANG MEMBODOHKAN PEMIKIRAN (BERLEGAR SELAMA 52 TAHUN) INI PERLU DIHENTIKAN!

Monday, November 2, 2009

AUTONOMI KEPADA WILAYAH SELATAN THAILAND: SATU CADANGAN



1.0 PENDAHULUAN


Kesediaan kerajaan Thailand di bawah pentadbiran Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva untuk menyelesaikan konflik di wilayah Selatan Thailand merupakan satu tindakan yang amat dialu-alukan. Krisis yang berlanjutan sejak dari tahun 2004 telah mengakibatkan korban melebihi 4000 jiwa. Berdasarkan insiden ini, di anggarkan lebih dari 800 orang terkorban dalam setahun, 67 orang dalam jangka masa sebulan dan 2 orang korban dalam sehari.

Di antara punca yang menyebabkan konflik semakin berlarutan ialah pembangunan yang kurang, kemiskinan dan peminggiran rakyat tempatan dari melibatkan diri dalam membangunkan kawasan mereka sendiri. Saranan pemberian autonomi kepada wilayah Selatan Thailand perlulah dimulai dengan pemberian autonomi dalam bidang-bidang asas seperti pendidikan, pembangunan sumber manusia dan ekonomi.


Pemberian autonomi penuh kepada wilayah Selatan Thailand dalam keadaan tiadanya modal insan yang berkualiti, dikhuatiri akan mengakibatkan konflik menjadi semakin berlarutan dan akan membantutkan proses damai di wilayah tersebut.


Wilayah Selatan Thailand seringkali tidak pernah sunyi dari pertempuran kedua-dua pihak kerajaan dan pemisah. Konflik yang berterusan di wilayah ini adalah lanjutan dari ketidakpuasan masyarakat tempatan terhadap penggabungan wilayah Selatan Thailand ke dalam negara Siam pada tahun 1902. Penaklukan ini diteruskan lagi melalui perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909 ketika di bawah pemerintahan Raja Chulalongkorn (1853-1910).


Wilayah Selatan Thailand seperti Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla sememangnya begitu ketinggalan dalam pelbagai aspek terutama sekali dalam pembangunan sosio-ekonomi berbanding 71 wilayah Thailand yang lain. International Crisis Group (ICG) di dalam laporannya yang diterbitkan pada tahun 2005 mencatatkan wilayah seperti Pattani, Yala dan Narathiwat merupakan kawasan yang paling ramai penduduk miskin di seluruh Thailand. Kesan dari peminggiran dari sudut ekonomi, politik dan sosial, ia telah mencetuskan pemberontakan bersenjata untuk membebaskan wilayah terbabit dari menjadi sebahagian negara Thailand.


Isu pemberian autonomi dan penstrukturan semula pembangunan di Selatan Thailand pernah diutarakan oleh Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva pada bulan Mac 2009. Namun, isu ini telah tergendala berikutan dari krisis politik yang melanda Thailand yang melibatkan kumpulan baju merah (pro-thaksin) dan baju kuning (anti-thaksin).


Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Mohd Najib Razak telah membangkitkan semula cadangan pemberian autonomi kepada wilayah Selatan Thailand sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada konflik ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Hua Hin. Perkara ini penting dalam memberikan ruang kepada rakyat di Selatan Thailand untuk turut serta dalam aktiviti pentadbiran dan menentukan hala tuju wilayah. Saranan ini telah mendapat respon yang positif dari Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva yang bertekad mahu mengembalikan keamanan di wilayah tersebut.


Namun, persoalan utama yang berbangkit ialah, bagaimanakah model autonomi yang sesuai untuk dipraktikkan di wilayah Selatan Thailand? Autonomi merupakan perkara yang sensitif kepada rakyat wilayah Selatan Thailand dan majoriti rakyat Thailand pula tidak mempunyai pemahaman yang jelas mengenai konsep tersebut berikutan Thailand merupakan sebuah negara yang mengamalkan konsep kesatuan (unitary).

2.0 PEMBERIAN AUTONOMI SECARA BERPERINGKAT


Pemberian autonomi kepada Selatan Thailand sudah semestinya disambut baik oleh kerajaan Malaysia. Sebagai negara jiran yang berkongsi sempadan dengan Thailand, Malaysia sudah semestinya mengalu-alukan usaha ini sebagai langkah penyelesaian kepada konflik disamping mengurangkan risiko isu keselamatan di kedua-dua buah negara.


Walaubagaimanapun, penulis mencadangkan pemberian autonomi ini perlulah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Pendekatan ini dilaksanakan di atas faktor kekurangan modal insan di wilayah Selatan Thailand. Perlaksanaan kuasa autonomi seperti pentadbiran sendiri sudah semestinya memerlukan pembinaan kemahiran asas dan kepakaran yang sepatutnya dimiliki oleh anak tempatan. Pemberian autonomi haruslah dimulakan dengan memberikan kuasa dalam bidang pendidikan,pembangunan sumber manusia dan ekonomi.

2.1 AUTONOMI PENDIDIKAN

Seperti yang sedia maklum, wilayah Selatan Thailand sememangnya terkenal sebagai pusat pengajian agama Islam yang mashyur di Asia Tenggara. Sekian lama anak-anak Selatan Thailand hanya terdedah kepada ilmu-ilmu kerohanian Islam atas kehendak diri sendiri.

Justeru, ramai anak-anak Selatan Thailand tidak mampu bersaing dalam mendapatkan peluang pekerjaan yang memerlukan kelayakan akademik. Perkara ini diburukkan lagi dengan peminggiran mereka dari menjawat jawatan awam walaupun mempunyai kelayakan pendidikan yang tinggi seperti di peringkat Universiti.

Pemberian autonomi dalam bidang pendidikan membolehkan pihak selatan Thailand merombak silibus pendidikan mereka sendiri seperti menggabungkan pendidikan sekular dengan pendidikan agama.

Apabila wujud autonomi ia juga membawa bermaksud “self rule”. Namun, apakah wujud modal insan yang berkualiti untuk mentadbir wilayah Selatan Thailand dalam keadaan kesemua rakyat tidak mendapat pendidikan yang sempurna?

Dalam hal ini, Malaysia mampu menawarkan kepakaran dalam menggabungkan pendidikan Islam dan sekular seperti yang telah diamalkan di kebanyakan madrasah-madrasah moden di seluruh Malaysia. Mereka bukan sahaja mendapat pendidikan agama yang sempurna, malah mempunyai kelayakan pendidikan moden yang komprehensif. Peluang dalam mengurus tadbirkan sendiri sistem pendidikan mereka akan memudahkan jalan kepada pemerintahan sendiri suatu masa nanti.

2.2 AUTONOMI DALAM PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

Kemahiran dalam sektor seperti pertanian dan teknologi merupakan suatu perkara penting dalam membangunkan wilayah Selatan Thailand. Perlu disedari, kebanyakan generasi muda di selatan Thailand tidak mempunyai kemahiran yang cukup dalam mana-mana sektor berikutan mereka melalui sistem pendidikan yang lebih menumpukan kepada pengajian agama.

Berpandukan alasan inilah, sektor industri di selatan Thailand tidak begitu pesat membangun. Dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat, pra syarat utamanya ialah penjanaan ekonomi.

Hal ini begitu memerlukan kewujudan tenaga kerja yang mahir dalam pelbagai sektor. Dalam menangani masalah ini, kerajaan Malaysia dapat menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Thailand melalui agensinya seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melatih tenaga kerja mahir di selatan Thailand.

Selain itu kerjasama juga mampu diwujudkan melalui pemberian latihan dalam bidang kejururawatan dan perubatan dalam meningkatkan kualiti kesihatan rakyat. Kerjasama sebegini sedikit sebanyak akan melahirkan pekerja mahir untuk menjana industri di selatan Thailand tanpa terlalu bergantung kepada tenaga mahir yang didatangkan dari Bangkok dan wilayah utara Thailand.

2.3 AUTONOMI DALAM EKONOMI DAN KEWANGAN
Pemberian autonomi dalam bidang ekonomi dan kewangan mampu mengurangkan kebergantungan wilayah selatan Thailand kepada kerajaan pusat. Cadangan ini dapat dilaksanakan dengan memberikan peluang kepada masyarakat tempatan untuk mengurus bahan mentah yang terdapat dalam wilayah tersebut.


Di antara cara yang paling efektif ialah dengan memajukan sektor halal hub. Majoriti masyarakat wilayah selatan Thailand di Yala, Narathiwat dan Pattani adalah terdiri dari mereka yang beragama Islam. Perkara ini sedikit sebanyak memberikan kelebihan dalam meningkatkan potensi sektor makanan halal yang mana penggunanya bukan sahaja terdiri dari masyarakat tempatan bahkan mampu menampung keperluan masyarakat Islam di seluruh Thailand.


Pengalaman kerajaan Malaysia dalam menjana Industri Kecil Sederhana (IKS) dilihat mampu menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Thailand untuk membangunkan industri makanan halal di wilayah selatan seperti Pattani, Songkhla, Narathiwat dan Yala. Jalinan kerjasama seperti ini sedikit sebanyak akan membolehkan wilayah selatan Thailand menjana sendiri pendapatan mereka tanpa terlalu bergantung kepada dana pembangunan dari pemerintah pusat.


3.0 KESIMPULAN

Proses mewujudkan kedamaian di wilayah Selatan Thailand telah memakan masa yang panjang. Konflik yang tercetus telah mengakibatkan kemusnahan harta benda dan nyawa yang tidak terhitung nilainya. Di antara jalan penyelesaian kepada konflik ini ialah dengan memberikan autonomi kepada wilayah terbabit. Pemberian autonomi secara berperingkat-peringkat ini selaras dengan tuntutan yang pernah dikemukakan oleh pejuang Patani terdahulu seperti Allahyarham Tuan Guru Hj. Sulong Al-Fatani pada tahun 1947.

Di antara perkara yang ditegaskan di dalam tuntutan beliau ialah usaha memartabatkan bahasa Melayu dan Islam, pengisian 80 peratus jawatan awam oleh rakyat tempatan dan penggunaan hasil bumi untuk memajukan wilayah tersebut sahaja. Tuntutan yang pernah diutarakan 62 tahun dahulu ini, jelas mengarah kepada pembangunan modal insan di kalangan rakyat tempatan.
Pemberian autonomi dalam bidang-bidang tersebut sedikit sebanyak menyediakan asas yang sempurna kepada masyarakat wilayah Selatan Thailand dalam menguruskan pemerintahan sendiri suatu masa nanti. Dalam hal ini, kerajaan Thailand dan Malaysia perlu memainkan peranan melalui kerjasama yang erat bagi memastikan pergolakan di wilayah tersebut mampu ditamatkan secara berperingkat-peringkat. Perdamaian di wilayah selatan ini bukan sahaja memberikan keuntungan kepada Malaysia dari konteks isu keselamatan negara bahkan turut memberikan kejayaan di pihak Thailand kerana berjaya menamatkan konflik yang telah berlarutan hampir satu abad. Sinar kedamaian akan kembali menerangi wilayah Selatan Thailand suatu hari nanti.


*Setelah sekian lama tidak menulis di dalam blog ini, ia menyebabkan penulis menjadi agak buntu dan kekok untuk mengeluarkan idea secara terus!..Kebelakangan ini, penulis agak sibuk menguruskan penyelidikan M.A dan kerja-kerja di pejabat.Semoga,dengan terhasilnya penulisan ringkas tentang cadangan pemberian autonomi kepada wilayah Selatan Thailand ini, penulis akan kembali giat menghasilkan karya dan berkongsi idea serta ilmu dengan para tetamu ilmu yang lain seperti suatu masa dahulu..Insyallah!..

Monday, July 27, 2009

Makluman Umum


Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) yang merupakan sebuah institut penyelidikan di bawah Universiti Malaya akan genap 10 tahun penubuhannya tahun ini. Maka, dalam meraikan kejayaannya sebagai sebuah institut penyelidikan yang ulung dalam pengajian polisi awam dan politik, INPUMA telah menganjurkan satu Persidangan Antarabangsa berkenaan Pembangunan yang mapan (sustainable development) dan polisi awam pada 4-5 ogos 2009. Terdapat banyak pembentangan kertas kerja penyelidikan yang berkisar dengan konsep pembangunan mapan dan polisi awam dari sarjana-sarjana antarabangsa. Manakala ucaptama persidangan akan disampaikan oleh Prof. Dr. Jomo K Sundaram iaitu Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pembangunan ekonomi. Beliau juga merupakan mantan Professor ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya. Persdangan bertempat di Hotel Nikko Kuala Lumpur. Kepada mana-mana tetamu ilmu yang berminat untuk menghadirkan diri sebagai peserta seminar anda boleh menghubungi Cik Nurdiyana Alias (Pegawai Projek INPUMA) di talian (603) 2617 3028/3038 dan Cik Nur Muhaymin di talian (603) 2617 3039 untuk urusan pendaftaran, atau menghantar e-mail ke nurdiyana_a@yahoo.com dan ymin_83@hotmail.com.
Manakala, pada 6 hb ogos 2009 (pukul 10.30 a.m-12.30 pm), pihak INPUMA akan mengadakan Majlis Syarahan Umum bersempena sambutan 10 tahun penubuhannya dengan menampilkan Saintis Politik yang tersohor iaitu Prof. Dr. Donald L. Horowitz dari Universiti Duke. Syarahan yang akan disampaikan bertajuk "An Inside Job: Indonesia's Path to Constitutional Democracy". Majlis syarahan akan diadakan di Auditorium Tun Suffian, Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya. Untuk Majlis Syarahan Umum ini, tiada bayaran yang akan dikenakan dan terbuka kepada mana-mana hadirin yang berminat tentang ilmu politik yang tersusun. Para tetamu ilmu digalakkan untuk menghadiri majlis ini kerana ia julung-julung kalinya diadakan di Malaysia bersempena meraikan 10 tahun penubuhan INPUMA sebagai pemangkin pengajian Polisi Awam dan Pengurusan di Malaysia.